Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Anak muda benci sejarah?

Sejarah bermaksud peristiwa yang berlaku pada tahun-tahun tertentu. Dalam bahasa Arab sering dipanggil sirah.

Setiap peristiwa yang berlaku sama ada besar atau kecil akan dicatatkan sebagai sejarah, sama ada sejarah negara atau sejarah dunia.

Golongan yang bertanggungjawab dalam menyelidikan dan mengkaji tentang kesahihan sejarah dipanggil sejarahwan.

Menjadi sejarahwan bukanlah mudah seperti yang disangkakan.

Banyak penyelidikan dan kajian perlu dilakukan seperti membaca, menganalisis, menziarahi tempat peristiwa dan menemu bual tokoh atau individu yang terlibat dengan sesuatu peristiwa.

Sekiranya seseorang itu mengambil pengajian sejarah,sudah tentu banyak perkara yang perlu diingati.

Ini termasuk nama-nama tokoh, tarikh atau tahun, jalan cerita yang menyebabkan peristiwa itu berlaku, tempat kejadian dan nama-nama individu yang terlibat.

Sekiranya kita kurang mengetahui tentang sejarah dunia tidak apa.

Tetapi sebagai warganegara Malaysia yang cintakan negara, sejarah Malaysia atau Tanah Melayu wajib diketahui oleh semua rakyat tanpa mengira kaum - Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain - yang hidup bersama di bumi bertuah ini.

Negara yang diberi nama Malaysia ini sememangnya mempunyai pelbagai sejarah yang menarik untuk diceritakan.

Bergantung kepada diri individu itu sendiri sama ada suka atau tidak suka untuk mempelajarinya.

Penulis boleh katakan bahawa mereka yang tidak meminati untuk mempelajari sejarah merupakan golongan yang rugi.

Memetik kata-kata George Santayana (1863-1952), "Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya."

Penulis amat tertarik dengan kata-kata tokoh falsafah dari Sepanyol ini kerana ia memberi kesedaran kepada penulis bahawa sejarah itu amat penting untuk difahami dan dihayati.

Malangnya,sejarah negara kita sering dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak bagaikan tiada nilai langsung di sisi mereka. 

Mata pelajaran dibenci

Penekanan dan kepentingan mempelajari sejarah ini sering dilihat sebagai tidak menjamin masa depan anak muda.

Jadi, apakah punca yang menyebabkan anak muda jahil dan bosan tentang sejarah?

Masalah utama yang menjadi punca kepada permasalahan ini adalah anak muda tidak diberi penekanan oleh ibu bapa dan masyarakat tentang kepentingan mempelajari sejarah sejak di peringkat sekolah.

Semasa di zaman persekolahan dahulu, mata pelajaran yang amat dibenci oleh kebanyakan pelajar adalah mata pelajaran sejarah.

Gambar hiasan

Sering menjadi zikir harian mereka mengatakan bahawa subjek sejarah amat membosankan.

Ibu bapa pula cukup mementingan mata pelajaran lain yang lebih menjamin masa depan anak-anak mereka seperti subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Pada tahun 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan supaya mata pelajaran sejarah dijadikan salah satu subjek utama wajib lulus dalam ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keputusan KPM ini bukanlah untuk membebankan para pelajar, tetapi mengutamakan nilai sejarah yang dipelajari agar dapat melahirkan insan yang mempunyai jati diri dan semangat patriotisme.

Malangnya, nilai sejarah itu hanya diingati semata-mata untuk luluskan peperiksaan dan setelah tamat peperiksaan,nilai sejarah itu dibuang jauh dari lubuk hati.

Seterusnya, inti pati dan kandungan buku sejarah kurang menarik.

Kita sering melihat bahawa anak muda kurang berminat membaca buku terutama sekali buku yang berkaitan dengan sejarah.

Keadaan buku yang tebal, tulisan yang kecil dan jumlah gambar-gambar yang dipaparkan sedikit mengurangkan minat anak muda untuk membaca.

Kita perlu melakukan reformasi terhadap kandungan buku sejarah di negara kita dengan memperbanyakkan gambar-gambar tokoh dan tempat serta menggunakan tulisan lebih sesuai untuk menarik minat anak muda.

Mempelajari sesuatu perkara tidak semestinya melalui pembacaan. Pelbagai cara lagi yang boleh dilakukan. 

Malas membaca, tonton filem

Sekiranya anak muda malas untuk membaca, mereka juga boleh memperlajarinya dengan menonton filem-filem sejarah yang ditayangkan di kaca TV atau di media sosial.

Antara filem yang berjaya dihasilkan oleh anak tempatan adalah filem Tanda Putera (2013) (bawah), Leftenan Adnan (2000), 1957 Hati Malaya (2007), Raja Haji (2016) dan filem karya agung P Ramlee, Sarjan Hassan (1958).

Melalui penontonan filem sejarah seperti ini, maka banyak input, maklumat dan fakta yang boleh kita peroleh dan memudahkan anak muda memahami inti pati yang hendak disampaikan dalam filem-filem ini.

Syabas dan tahniah penulis ucapkan kepada industri filem negara. Semoga industri filem negara terus berkembang maju dengan menghasilkan lebih banyak lagi karya yang bersangkut paut dengan sejarah negara.

Pendedahan khusus berkenaan kepentingan sejarah perlu diberi keutamaan utama kepada anak muda dengan mengadakan program supaya dapat menarik minat mereka mempelajari sejarah.

Pendedahan ini perlu dilakukan sejak di peringkat pendidikan rendah hingga ke peringkat tinggi.

Bagi mahasiswa yang berkecimpung dalam pentadbiran universiti, mereka perlu mewujudkan persatuan atau kelab untuk menganjurkan program-program khas berkenaan dengan kepentingan sejarah.

Penulis cukup tertarik dengan himpunan yang diadakankan oleh penganjur Himpunan Rapat Umum Muda 2 tahun lepas di Kuala Lumpur.

Motif utama himpunan ini untuk memperingati perjuangan parti Angkatan Pemuda Insaf (Api), sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 15 Februari 1946 untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah British di Tanah Melayu.

Pelbagai acara diadakan seperti berarak beramai-ramai dengan melaungkan slogan keramat “merdeka”, memberi penerangan kepada umum tentang asas perjuangan Api dan membuat persembahan.

Sebagai pengakhiran penulisan ini, penulis berharap bahawa anak muda cuba untuk mempelajari sejarah negara.

Tidak rugi sedikit pun sekiranya kita mempelajarinya. Malah ia akan menjadi lebih menarik sekiranya penyampaian sejarah itu betul dengan caranya.

Semoga Malaysia dapat melahirkan lebih ramai sejarahwan yang berkualiti seperti Syed Husin Ali, Syed Hussein Alatas,Wan Shamsuddin Yusuf dan Prof Khoo Kay Kim.

Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara dan memulihara sejarah negara akan sentiasa dikenang dan diingati.


MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN

Pemuda PKR Setiawangsa

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.