Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Walau kebolehjangkitan tinggi, KKM belum bincang laksana PKPD di S'gor

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata masih belum ada perbincang berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mahupun perintah berkurung di Selangor, meskipun negeri itu mencatat kadar kebolehjangkitan (Rt) wabak Covid-19 yang tinggi.

"Kalau kita dapat laksanakan sebagaimana kita jalankan di Kedah, kita boleh kurangkan Rt dia (Selangor) daripada 1.

"Jadi tindakan sedang aktif dijalankan di kawasan-kawasan tersebut.

"Kalau kita dapat jalankan tindakan-tindakan tersebut, masih belum kita bincang sama ada perlu kita lockdown ataupun tidak. Itu di negeri Selangor," katanya pada sidang media harian KKM di Putrajaya hari ini.

RT menunjukkan kadar secepat mana penularan Covid-19 merebak.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan PKPD secara bersasar di beberapa kawasan di Kedah, seperti di Kota Setar dan Amanjaya, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di sana.

Noor Hisham memaklumkan sebanyak dua lagi kluster dikenal pasti di Selangor, iaitu kluster Seri Setia - empat kes positif setakat ini - dan kluster Seri Anggerik, dengan 14 kes positif setakat ini.

Kes indeks bagi kedua-dua kluster itu melibatkan individu warga Malaysia yang memiliki sejarah perjalanan ke Sabah pada bulan lalu, dengan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Bagi kluster Seri Setia, sejumlah 23 individu telah disaring dengan 14 daripadanya negatif dan lima lagi masih menunggu keputusan.

Bagi kluster Seri Anggerik pula, seramai 67 individu telah disaring dengan 15 dikenal pasti negatif dan 38 lagi masih menunggu keputusan.

Pada 30 Sept, Selangor mencatatkan (Rt) 1.95, iaitu lebih tinggi daripada Sabah.

"Di negeri Selangor, Rt adalah 1.9 tapi kawalan kesihatan awam telah dijalankan.

"Jadi kita harap kita dapat membendung penularan jangkitan kes-kes yang telah dikesan dan juga kluster-kluster yang tersedia ada," kata Noor Hisham. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.