Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Pengajaran pahit dari Sabah: Satu bacaan Gramsci

“Sono pessimista con l'intelligenza, ma ottimista per la volontà.”

“Saya seorang pesimis dek kerana kebijakan, tetapi optimis kerana kemahuan.”

Ini adalah ungkapan tulisan Antonio Gramsci, seorang falsafah sosialis Itali, yang dipenjarakan oleh rejim fasis ketika itu.

Kata-kata ini tertulis dalam “buku nota penjara” (bawah) miliknya saat dia merenung keadaan dirinya yang tiada harapan.

Kerana cuba mengubati melalui tindakan politik akan dunia fasis yang pada pandangannya akan menjerumus pada kehancuran, dia dikurung lima tahun lamanya agar “otaknya berhenti berfungsi”.

Dia dipenjara 20 tahun sehingga kesihatannya yang sudah uzur makin terjejas.

Gramsci menganjurkan pandangnya bahawa menilai dengan kebijakan dan pemikiran tentang keadaan masyarakat, akan berkesudahan dengan prognosis bernada pesimis.

Namun dalam situasi paling malap sekalipun, masih ada harapan.

Dinamisme dan turun naik masyarakat dan fitrah manusia mewujudkan ruang untuk campur tangan massa.

Kemahuan dan tindakan orang ramai boleh digembleng untuk melaksanakan campur tangan massa, yang menjadi sumber optimisme Gramsci.

Di negara kita, keputusan pilihan raya negeri Sabah menghampakan ramai, termasuk mereka yang bukan rakyat Sabah (baca: Malaya).

Apa yang pada awalnya akan menjadi batu loncatan untuk pergerakan besar dengan tujuan murni buat Malaysia telah dicantas sebelum bermula.

Adakah ruang untuk optimisme kemahuan ala Gramsci dalam perjuangan demokrasi Malaysia selepas ini?

Ramai, terutamanya dari kelompok intelek yang pesimis dengan bersebab.

Kemelut kuasa pihak tersisih

Sesetengah daripada mereka yang mengkhianati pengundi dalam pilihan raya lalu dengan melompat, lantaran menjadi punca kerajaan Warisan+ Sabah hampir tumbang, kini kembali diundi. 

Adakah ketiadaan harapan satu-satunya diagnosis yang mungkin untuk keadaan demokrasi negara kita?

Kita tertanya-tanya apakah gunanya mengundi dalam pilihan raya, jika “sogokan melompat” yang dirangka secara sistematik dan strategik oleh gunting dalam lipatan menjadi sebab kejatuhan kerajaan persekutuan dan negeri.

Untuk minggu mendatang, kemelut kuasa di kalangan mereka di bawah yang tersisih dari penaung kuasa akan timbul.

Analisis dan telahan akan mendominasi portal dan media sosial untuk berminggu lamanya.

Saling menuding jari dan ungkapan “saya dah cakap” akan muncul dari segenap penjuru. Kebanyakannya akan tersasar daripada perkara pokok.

Antara acara DAP dalam pilihan raya Sabah sebelum ini

Pemantauan saya membawa kepada kesimpulan berikut.

Keputusan yang terhasil menunjukkan bahawa melakukan perkara baik dan betul untuk pengundi menghasilkan kemenangan buat kita dalam beberapa pertempuran, tetapi melakukan perkara taktikal secara tuntas membuatkan pihak sana yang menang perang.

Taktik yang dijana oleh kemahuan untuk kejayaan, sedang perjuangan kita untuk tanah air yang lebih baik bertunjang pada nilai dan idea.

Rakyat Malaysia yang mencintai demokrasi mempunyai jangkaan tinggi untuk PRN Sabah.

Ia bukan sahaja tentang masa depan Sabah, tetapi juga dorongan untuk lanskap politik kebangsaan.

Ia juga titik tumpu dan petunjuk masih ada atau tidak harapan untuk membetulkan kepincangan demokrasi yang berterusan sejak tercetusnya Langkah Sheraton.

Ramai yang melihat Sabah sebagai benteng terakhir Harapan Malaysia untuk mengangkat kembali demokrasi.

Ia sepatutnya menjadi momen buat kuasa kebaikan, si lemah yang terkepung bangkit kembali untuk beroleh kemenangan dalam perjuangan menentang kuasa kejahatan.

Kemahuan optimis

Mesej teras dan pokok tentang perpaduan yang mewarnai kempen PRN Sabah menguasai imaginasi kebanyakan rakyat Malaysia.

Ia kena pada selera kebanyakan rakyat Malaysia yang menagihkan pedoman perpaduan merentas kaum.

Apatah lagi, ia datang dari pemimpin yang sedang membida jawatan tertinggi untuk dipertaruhkan.

Jika gagal beroleh kemenangan di peringkat negeri, adakah berbaloi untuk menimbangkan pendakian ke peringkat kebangsaan?

Ahli falsafah Jerman, Friedrich Nietzsche (bawah) berkata - yang selalu diungkap dan dipopularkan antaranya oleh Kelly Clarkson, Kanye West dan Batman - “Apa yang tidak membunuh anda akan menjadikan anda lebih kuat”.

Pesanan ini kini lebih relevan untuk rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi.

Tetapi sekarang bukan masanya untuk kita mengalah atau berundur, walaupun semuanya tampak sukar dan sangat pesimis buat demokrasi kita.

Lantaran satu lagi kata-kata hikmah muncul; bila kita jatuh, langkah seterusnya adalah untuk bangun kembali.

Seorang falsafah Cina pernah berpesan, “Kejayaan terhebat kita bukanlah tidak pernah jatuh tetapi kembali bangkit setiap kali kita jatuh.”

Mungkin perpaduan, atau pisompuruan dalam bahasa Kadazan, atau pasisimpungan dalam Murut, adalah idea bernas yang belum tiba.

Tetapi tiada nilai pesimisme intelek boleh menafikan tempatnya dalam identiti kebangsaan, kerana membina negara adalah satu perjuangan dan usaha yang tiada sudahnya.

Biar bagaimana pendek pun jangka hayatnya, kemenangan 9 Mei 2018 adalah sesuatu yang di luar jangkaan, hasil dari kegigihan kemahuan optimis rakyat Malaysia.

Kita harus memastikan bahawa kemahuan optimis kita kekal subur dan tidak dicantas oleh pesimisme intelek sendiri.

Seterusnya, kita hendaklah menyeru sepenuh kekuatan dari cabaran lalu dan kini, untuk terus mara ke hadapan.


HOWARD LEE ialah ketua Pemuda DAP merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.