Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Urusan bumiputera kini di bawah JPM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk meletakkan urusan berkaitan hal ehwal pembangunan bumiputera di bawah jabatan perdana menteri.

Katanya, setelah meneliti beberapa resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini, dia bersetuju dengan beberapa cadangan itu.

“Saya beri jaminan yang kerajaan pimpinan saya akan meneliti setiap satu resolusi yang dikemukakan KEB 2020.

“Saya juga bersetuju dengan satu perkara dalam resolusi itu iaitu meletakkan hal ehwal bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya pada majlis penutupan KEB di Kuala Lumpur hari ini.

Antara 13 resolusi KEB tersebut, MPM telah menuntut agar Mara dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) diletakkan di bawah JPM dengan perdana menteri sebagai menterinya.

Untuk rekod, sebelum ini Mara diletakkan di bawah kementerian pembangunan luar bandar manakala Yapiem pula memang di bawah JPM namun diselia oleh menteri agama.

Sementara itu, Muhyiddin juga menambah, untuk memastikan kelangsungan bumiputera dalam jangka masa panjang, semangat bantu-membantu sesama sendiri perlu diterapkan.

“Semangat kekitaan dalam komuniti bumiputera mestilah diterapkan untuk mewujudkan sebuah kitaran masyarakat yang turut mengambil berat terhadap generasi masa hadapan,” katanya lagi.

Muhyiddin menjelaskan statistik pada 2009 yang menunjukkan kaum bumiputera adalah antara golongan termiskin di negara ini.

“Kita mesti terima hakikat bahawa bumiputera merupakan kaum yang paling miskin dengan insiden kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 7.2 peratus berbanding kaum Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus.

“Dari segi jurang pendapatan pada 2019, jurang pendapatan purata antara bumiputera dan Cina adalah sebanyak RM2,802 iaitu empat kali lebih tinggi berbanding 1989,” katanya lagi.

Selain itu, Muhyiddin juga berpendapat kerajaan boleh membentuk sebuah jawatankuasa kerajaan bersama MPM untuk membantu kaum bumiputera.