Kandas di kampus, pelajar matrikulasi persoal sikap pilih kasih
Kolej matrikulasi didakwa tidak benar pelajar pulang ke rumah, tidak seperti pelajar di politeknik dan universiti awam yang lain.
Seorang pelajar kolej matrikulasi hari ini mendakwa mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing oleh pihak pentadbiran pusat pengajian itu, sejak Ogos lalu.
Ia berikutan langkah pencegahan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara kini.
Malah, pihak kolej difahamkan hanya membenarkan ibu bapa melawat dan menjenguk anak-anak mereka di pintu masuk kampus.
Peraturan ini nampaknya tidak berlaku untuk pelajar di politeknik dan universiti awam yang lain.
Kedua institusi pengajian tinggi ini ditadbir oleh Kementerian Pengajian Tinggi, manakala kolej matrikulasi berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.
Semalam, The Star memetik seorang pegawai mengesahkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sedang mengkaji larangan membenarkan pelajar matrikulasi keluar dari kolej pada hujung minggu.
Keputusan akhir mereka dijangka diumumkan hari ini.
Mengulas lanjut, pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai M, memberitahu Malaysiakini bahawa dia biasanya pulang ke rumahnya di Selangor dua kali sebulan.
"Kami tidak dibenarkan pulang sejak awal Ogos..
"Ibu bapa boleh datang menemui anak-anak mereka, tetapi hanya di pintu pagar. Mereka tidak dibenarkan memasuki premis kuliah,” katanya ketika dihubungi.
Walaupun dia memahami alasan di sebalik keputusan itu, M mempersoalkan mengapa rakan sebayanya yang mengambil diploma di politeknik dan kursus asas di universiti tidak dikenakan sekatan yang sama.
“Kira macam tak adil jugalah, sebab kami sama muda dengan dia orang. Cuma program saja tak sama.
“Rasa kecewa jugalah. Tapi, nak buat macam mana, ikut sajalah arahan dari pihak atasan,” katanya.
The Star sebelum ini melaporkan sebilangan pelajar matrikulasi menghadapi masalah kesihatan mental setelah dikurung di kawasan kampus untuk jangka masa yang panjang.
Menurut laman web Kementerian Pendidikan, semua 17 kolej matrikulasi dijadualkan memulakan cuti semester mereka pada 12 Oktober hingga 18 Oktober.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai