Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wan Fayhsal jelaskan 'punca' GRS capai kejayaan di PRN Sabah

Hanya beberapa hari selepas berjaya menumbangkan Warisan di Sabah, Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tampil memberikan 'penjelasan' mengapa kemenangan itu berjaya digapai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut senator itu, kejayaan GRS dapat dilakar hasil kekuatan yang bersumberkan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Sambil bersemangat menyentuh mengenai PRU ke-15 yang belum diketahui bila akan dilangsungkan, Wan Ahmad Fayhsal dalam satu hantaran di Facebook petang semalam kemudian menarik perhatian pemimpin Umno.

Hal itu kerana, dakwaan dibuat Wan Ahmad Fayhsal secara tidak langsung meletakkan Umno sebagai beban kepada gabungan tersebut.

“Perikatan Nasional (PN) tidak dibebani dengan isu legasi, trust deficit (defisit kepercayaan) kerana ianya masih baru dan segar.

“Kekuatannya banyak terkumpul pada YAB Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kita tahu tidak ponggah, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama asalkan matlamat utama dalam menubuhkan kerajaan yang kuat, berintegriti dan beramanah itu tercapai.

“Barulah rakyat sayang, tidak dibayangi dengan skandal dan masalah yang kronik sehingga rakyat susah nak percaya,” katanya.

Macam hubungan takkan lama

Untuk rekod selepas Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan pada Mei 2018, beberapa pemimpin kanan Umno didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan.

Antaranya ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Ahmad Maslan (kini setiausaha agung) dan Tengku Adnan Tengku Mansor (bekas setiausaha agung).

Najib Razak pula sudah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala isterinya, Rosmah Mansor, masih dibicarakan.

Wan Ahmad Fayhsal turut memetik kajian Merdeka Centre yang menjangkakan PN mampu menguasai dua per tiga kerusi Dewan Rakyat jika tiada pertembungan tiga penjuru dalam PRU akan datang.

Antara pemimpin Umno yang segera menyanggah kenyataan Wan Ahmad Fayhsal ialah Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.


Baca Setiausaha Hadi titip nasihat buat 'kekanda Asyraf Wajdi'


Asyraf Wajid berkata selama ini Umno sudah berkali-kali mengalah kepada Bersatu ketika kerusi yang dimilik parti serpihan Umno itu jauh lebih rendah daripada mereka.

"Justeru jangan melampau! Ahli-ahli Umno juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah. Nasihat saya bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas," katanya.

Zahida pula nampak tidak kurang tegasnya. Meskipun ringkas saja pandangan yang dilontarkan di Facebook, dia tetap kelihatan 'garang' menjawab Wan Ahmad Fayhsal.

Zahida Zarik Khan

"Kenyataan yang angkuh dan sombong. Lupakah pada keputusan PRK Semenyih dan Tanjung Piai?

"Kalau inilah cara pemimpin Armada, nampaknya hubungan kita seperti tak lama.." tulisnya.

Turut menarik perhatian berhubung persaingan di antara Umno dan Bersatu itu ialah bagaimana kedua-dua parti mencari persetujuan berhubung pemilihan calon ketua menteri Sabah.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal untuk menghadapi PRU ke-15 kerjasama dalam parti-parti kerajaan akan diperkukuhkan.

“Semoga Allah melembutkan hati-hati kita untuk tidak tamak dan sepet akal dalam menilai.

"Masa depan Malaysia buat masa ini cerah bersama Perikatan Nasional,” katanya.