Jangan galakkan 'perilaku katak' di Sabah, kata Adun DAP
Seorang Adun DAP Selangor menyuarakan bantahan terhadap mereka yang berharap agar Presiden Warisan, Shafie Apdal merancang adegan lompat parti bagi membentuk kerajaan negeri di Sabah.
Adun Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran berkata 'perilaku katak' tidak sepatutnya digalakkan.
"Saya tidak setuju dengan beberapa rakan saya yang berharap Shafie dapat memujuk beberapa orang Adun atau PBS untuk menyeberang ke Warisan.
"Saya tidak suka melihat Umno berkuasa di mana sahaja, termasuk Sabah, (tetapi) tidak betul untuk mendorong 'perilaku katak'.
"Kita tidak boleh menjadi parti yang cakap lain buat lain," katanya dalam catatan Facebook malam tadi.
Warisan plus gagal mempertahankan kerajaan negeri Sabah pada pilihan raya negeri Sabtu lalu, dengan hanya memenangi 32 kerusi berbanding 38 yang dimenangi oleh Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
GRS, yang terdiri daripada Perikatan Nasional, BN, dan PBS, juga mendapat sokongan tiga Adun bebas yang menang dalam pilihan raya itu.
Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor dijadual mengangkat sumpah sebagai ketua menteri hari ini.
Shafie dan Warisan Plus, bagaimanapun, belum mengakui kekalahan secara rasmi.
Pada pilihan raya umum 2018, BN dan Warisan masing-masing memenangi 29 kerusi, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menang dua kerusi.
Pemimpin BN Sabah, Musa Aman kemudian membuat perjanjian dengan Star bagi mendapatkan majoriti.
Bagaimanapun tidak lama selepas mengangkat sumpah, beberapa Adun BN bertindak melompat parti untuk memberikan majoriti kepada Shafie.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai