Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SMK Tawau, SMK Umas-Umas larang penggunaan beg plastik pakai buang

Dua sekolah di Sabah melarang penggunaan beg plastik pakai buang di pekarangan sekolah, termasuk di kantin, sebagai langkah pertama untuk menghentikan kebergantungan pada semua jenis plastik pakai buang.

SMK Tawau menandatangani perjanjian tersebut pada 21 Sept, menyertai SMK Umas Umas dalam kempen ‘Borneo Tanpa Plastik’ yang dianjurkan oleh kumpulan pencinta alam, yang bermula pada 2019.

Guru SMK Tawau, Jasni Sinee berkata, sekolah mereka sebelum ini sudah melarang straw plastik di kalangan kakitangan dan di kantin.

"Kami ingin mengelakkan sebanyak mungkin penggunaan plastik pakai buang dan bukan hanya beg plastik," katanya.

"Walaupun perbezaan keseluruhan tidak drastik, kami melihat banyak guru dan kakitangan yang mula menggunakan beg yang dapat digunakan semula.

"Terdapat juga inisiatif dalam kalangan guru untuk mulai mengganti straw plastik mereka dengan straw yang dibuat daripada buluh dan kertas kitar semula yang jauh lebih mesra alam," tambahnya.

 

Jasni berharap kempen ini dapat mendorong kakitangan dan pelajar menggunakan lebih banyak produk mesra alam.

"Saya harap ada lebih banyak agensi yang akan bekerjasama dengan sekolah untuk meningkatkan kesedaran bagi menyelamatkan alam sekitar agar Sabah akan menjadi negeri yang bebas plastik," tambahnya.

Setengah juta beg plastik digunakan di sekolah dalam setahun

Pengasas kempen itu, Shavez Cheema mengatakan lebih daripada 21,000 tandatangan dalam petisyen untuk mendesak "Borneo bebas plastik", dan gerakan itu berusaha untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan sekolah dan organisasi perniagaan.

Penganjur kempen juga menyokong sekolah dengan menyediakan poster untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu ini, kata pengasas bersama kempen Yulinda Wahyuni.

“Ini adalah pendedahan awal bagi anak-anak sekolah untuk menyumbang dalam membantu persekitaran. Pada masa depan mereka dapat mendidik orang di sekeliling mereka tentang perkara yang telah mereka pelajari dari sekolah,” katanya.

 

Dia berkata, kantin sekolah adalah antara pengguna plastik pakai buang yang paling tinggi, dengan anggaran setengah juta beg plastik digunakan di sekolah dalam setahun.

Shavez mengatakan di SMK Tawau sahaja, dianggarkan 324,000 beg plastik pakai buang digunakan dalam setahun oleh 1,800 pelajar.

"Jumlah itu sangat banyak untuk penggunaan plastik dari satu sekolah," katanya.

Menurut Malaysia’s Zero Plastic Roadmap 2018-2030, organiasasi perniagaan di seluruh negara mesti mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik menjelang 2021.

Langkah seterusnya - tiada lagi botol plastik pakai buang

SMK Tawau adalah sekolah kedua yang berikrar untuk "bebas plastik", mengikut jejak SMK Umas Umas.

Guru SMK Umas Umas, Kamisah Kula berharap kempen ini dapat membantu mengurangkan penggunaan produk tidak terbiodegradasi yang berbahaya kepada alam sekitar.

 

"Walaupun kami tidak 100 peratus bebas plastik di sekolah, setiap kakitangan sekolah, pelajar dan ibu bapa berusaha untuk mengganti beg plastik pakai buang dengan beg yang dapat digunakan kembali.

"Kempen ini meningkatkan kesedaran akan peranan setiap individu dalam melindungi alam sekitar," katanya.

Yulinda mengakui bahawa sukar untuk membuat pelajar menerima larangan plastik di sekolah, tetapi dia percaya pelajar perlu dididik semula.

“Setelah larangan plastik ini dilaksanakan oleh orang awam, ini akan memberi perbezaan besar terhadap masalah pencemaran. Akhirnya, yang dapat manfaat adalah alam sekitar," katanya.

Kumpulan itu berharap lebih banyak sekolah dan organisasi perniagaan akan menyertai kempen bebas beg plastik pada pertengahan tahun depan dan beberapa sekolah akan meningkatkan tahap larangan botol plastik pakai buang pada akhir 2021.

Shavez berkata kumpulan itu berusaha mendapatkan penaja untuk memasang dispenser air minuman di sekolah.

"Kita akan dapat mengurangkan sekitar dua juta beg plastik dan botol dari hanya empat sekolah," katanya.