Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua menteri baru Sabah angkat sumpah pagi esok

Majlis mengangkat sumpah bagi jawatan ketua Menteri Sabah yang baru akan diadakan jam 10.30 pagi esok di Istana Negeri Sabah.

Bagaimanapun, identiti pemimpin yang akan mengangkat sumpah jawatan itu masih belum didedahkan kepada umum.

"Untuk makluman majlis angkat sumpah ketua menteri akan berlangsung pada 29 Sept 2020 jam 10.30 pagi di Istana Negeri Sabah," kata Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Negeri Sabah dalam satu kenyataan ringkas kepada media hari ini.

Kenyataan itu memetik sumber dari Istana Negeri tetapi tidak mendedahkan Adun yang akan dilantik sebagai ketua menteri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin.

Semalam BN Sabah dan Perikatan Nasional (PN) Sabah gagal mencapai kata sepakat mengenai calon ketua menteri setelah kedua-dua gabungan itu mengadakan pertemuan.

Susulan itu, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin dan Pengerusi Bersatu, Hajiji Mohd Noor menemui Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin petang semalam.

BN dan PN Sabah merupakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memenangi 38 kerusi pada pilihan raya negeri Sabtu lalu. 

Gabungan itu juga mendakwa mendapat sokongan tiga Adun bebas.

Semalam Bung memberitahu pihak media bahawa mereka telah meminta Juhar membuat keputusan mengenai calon bagi ketua menteri Sabah.

Menurut Bung, Juhar mengatakan dia memerlukan masa untuk membuat keputusan tetapi akan melakukannya secepat mungkin.

Sementara itu, penyokong Warisan berpendapat parti itu harus diberi peluang untuk membentuk kerajaan negeri disebabkan parti pimpinan Shafie Apdal itu paling banyak memenangi kerusi Dun iaitu sebanyak 23 kerusi.