Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Warisan nafi cuba pikat 7 Adun PBS lompat parti

Naib Presiden Warisan, Jaujan Sambakong menafikan dakwaan setiausaha agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Jahid Jahim bahawa parti itu cuba memikat tujuh Adunnya untuk melompat parti.

"Siapa yang cakap ini, dia yang cakap," kata Jaujan ketika ditemui di kediaman Presiden Warisan dan bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

Jahid memberitahu portal berita Thevibes bahawa wakil rakyat PBS, termasuk dirinya dihubungi semalam untuk bekerjasama dengan Warisan Plus yang kini memiliki 32 Adun.

Semalam PBS menyangkal dakwaan bahawa parti itu menyertai Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Parti itu juga mengulangi pendiriannya untuk kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang memenangi 38 kerusi dan mendakwa mendapat sokongan tiga Adun bebas.

Jaujan juga enggan mengulas apabila ditanya apakah Adun yang baru dipilih dari GRS telah bertemu Shafie di kediamannya malam tadi.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya apakah Warisan yang memenangi 32 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu cuba untuk membentuk kerajaan negeri, Jaujan berkata:

"Keputusannya sudah ada, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengeluarkan keputusannya. Biar serahkan kepada Yang di-Pertua Negeri (Juhar Mahiruddin). Kita hanya boleh menunggu," katanya sambil menambah Warisan menghormati keputusan pengundi.

Semalam BN Sabah dan Perikatan Nasional (PN) Sabah gagal mencapai kata sepakat mengenai calon ketua menteri setelah mengadakan pertemuan selama dua jam.

Susulan itu, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin dan Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor yang disebut-sebut sebagai calon ketua menteri telah menemui Juhar petang semalam.

Bung memberitahu pihak media bahawa mereka telah meminta Juhar membuat keputusan mengenai siapa yang akan menjadi ketua menteri berikutnya.

Menurut Bung, Juhar memberitahu dia memerlukan masa untuk membuat keputusan tetapi akan melakukannya secepat mungkin.

Sementara itu, semakin ramai pemimpin dan penyokong parti dilihat tiba di rumah Shafie bagi memberikan sokongan mereka.

Adun yang baru dipilih Mohammadin Ketapi (Segama) dan Peter Anthony (Melalap) dilihat tiba selepas jam 9 pagi.

"Saya hanya datang untuk jumpa Shafie," kata Mohamaddin ketika ditanya apakah Shafie telah memberi sebarang arahan kepada mereka.

Dia mengatakan tidak pasti pada masa ini apakah Warisan Plus akan dapat membentuk kerajaan baru.

"Itu, saya tidak tahu. Saya perlu melihat apa yang berlaku. Saya belum tahu apa-apa," kata Mohamaddin.