Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Azmin: Keputusan PRN Sabah bukti rakyat yakin Muhyiddin

Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri Sabah membuktikan keyakinan rakyat Sabah terhadap Perikatan Nasional dan kepimpinan perdana menteri, kata Ketua Penerangannya Mohamed Azmin Ali.

“Keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020 menyaksikan kematangan rakyat Sabah menjunjung semangat federalisme demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Keputusan ini juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta muafakat dan kerjasama dalam Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah. 

“Mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah jelas membuktikan bahawa rakyat memilih sebuah kerajaan negeri yang prihatin, inklusif dan menjamin kedaulatan negeri serta keselamatan rakyat," katanya dalam kenyataan.

GRS iaitu parti gabungan PN, BN dan PBS memenangi PRN semalam selepas berjaya meraih 38 kerusi dari 73 kawasan iaitu majoriti lima kerusi.

Bagaimanapun, calon ketua menteri negeri itu belum diketahui.

Pengerusi PN Sabah, Hajiji Mohd Noor dan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu.

“Dengan penuh rasa tawadhu’, PN akan menggalas mandat ini dengan tekad dan iltizam untuk menjana usaha pembangunan serta mencerdaskan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, negeri dan rakyat Sabah akan menikmati pembangunan yang inklusif, saksama dan berkualiti,” kata Azmin.

Tambahnya, kemenangan ini akan menyemarakkan lagi kerjasama dalam PN bersama dukungan rakyat di seluruh negara.