Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pesalah pencemaran sumber air berdepan denda RM1 juta

Pesalah pencemaran sungai di Selangor boleh didenda hingga RM1 juta jika cadangan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 yang bakal dibentangkan pada persidangan DUN Selangor bulan depan diluluskan, kata Menteri Besar Aminudin Shari.

Amirudin berkata cadangan pindaan itu yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 turut mengenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

“Penambahbaikan perundangan Luas meliputi keseluruhan pengurusan sumber air negeri terutama peningkatan tahap hukuman terhadap salah laku sumber air seperti pencemaran sungai.

"Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga dalam proses semakan dan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang menekankan kepada bentuk hukuman yang lebih keras untuk kesalahan pencemaran sumber air," katanya dalam ucapan pada perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 peringkat Selangor dan pelancaran Inisiatif Friends of River di Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industi Asas Tani Selangor Izham Hashim yang merasmikan program itu bagi pihaknya.

Pada masa ini, Seksyen 79 enakmen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan setelah pemberitahuan oleh Luas yang menghendaki pematuhan diserahkan.

Selain itu, Amirudin berkata Luasakan menubuhkan pasukan khas bagi meningkatkan kawalan di kawasan sumber air dan lembangan sungai negeri untuk memperkasa tindakan penguatkuasaan sumber air.

Katanya Skuad Pantas Luas akan melakukan pemantauan selama 24 jam di kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas loji pembersihan air (LPA).

"Penubuhan skuad ini adalah kesinambungan untuk memperkasakan lagi inisiatif kerajaan Selangor sebelum ini iaitu Ops Sumber Air yang mula dilaksanakan Mac lepas, disertai pelbagai agensi berkaitan.

"Hingga kini, tujuh insiden pencemaran yang berpotensi menyebabkan henti tugas LPA (kod kuning) dan gangguan bekalan air dapat dikekang melalui Ops Sumber Air. Dengan adanya skuad ini, diharapkan langkah kawalan akan menjadi lebih ketat dan penguatkuasaan seterusnya lebih serius," katanya lagi.

-Bernama