ULASAN | Bergantung pada MP Umno dan pemimpin DAP
Meneliti kenyataan media pemimpin parti-parti politik yang bergabung bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), diyakini bahawa kerajaan ini sukar tumbang kerana rata-rata mereka masih menyatakan dukungan kuat.
Paling utama adalah kenyataan media bersama beberapa setiausaha agung, iaitu Annuar Musa (BN), Hamzah Zainuddin (Bersatu), Takiyuddin Hassan (PAS), Alexander Nanta Linggi (GPS), Jahid Jahim (PBS) dan Guan Dee Kohoi (Star).
Mereka menegaskan “semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan PN hari ini kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin”.
Begitu juga kenyataan media Abdul Hadi Awang selaku presiden PAS yang menyebut “PAS mempertegaskan sokongan sepenuhnya 18 ahli parlimen PAS kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, yang masih sah di sisi perlembagaan Malaysia”.
Samalah juga dengan kenyataan media Alexander Nanta Linggi selaku setiausaha agung GPS dan PBB yang menyebut mengenai betapa “GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan PN bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Yassin”.
Penafian setiausaha agung GPS ini adalah amat kritikal kerana setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng, menyebut kepada Malaysiakini lewat malam tadi bahawa gambaran yang diberikan oleh Anwar Ibrahim adalah GPS menyokongnya.
(Ayat yang digunakan ialah “Datuk Seri Anwar Ibrahim gave the impression that he had GPS supporting him to have a comfortable majority. With GPS it should be at least 120 MPs.”).
Lim berkata, DAP menjangkakan pihak yang menyokong Anwar adalah GPS tetapi bila sokongan ini diperoleh daripada pihak lain, bukan GPS, maka ia adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.
(Ayat yang digunakan: “We expected it to be GPS. When (people) talked about other parties, it was something unexpected.”).
Lim juga berkata, komunikasi dengan Anwar menjelang sidang media Anwar adalah teruk dan dibuat hampir jam 12 tengah hari, menyebabkan sidang media itu sedikit lewat.
Ini kerana dia sedang berkempen di Sandakan yang menghadapi masalah telekomunikasi dan mereka tidak mampu bercakap panjang kerana talian teruk.
Lim juga berkata, mereka tidak boleh bercakap mengenai perkara sensitif begini melalui telefon dan dia akan membincangkannya dengan Anwar setelah dia balik ke semenanjung.
(Ayat digunakan: “We cannot be talking about this sensitive thing over the phone. I think we should go back and discuss with him.”)
Begitupun, dalam kesemua kenyataan media ini, terdapat satu kenyataan media yang agak memeranjatkan dibuat oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden Umno (telah dipastikan kesahihannya) yang berbunyi:
“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen (Umno dan BN) yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang Di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.”
Dan:
“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan (terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim). Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan.”
Sekarang ini pastilah semua pihak mahu tahu siapakah ahli-ahli parlimen Umno yang sebelum ini telah bersumpah setia untuk tidak sesekali bersekongkol dengan pemimpin DAP demi kuasa tetapi kini dikatakan menyokong Anwar, sekali gus bersekongkol dengan pemimpin DAP.
Dan sekarang ini juga pastilah semua pihak mahu tahu, jika benar ramai ahli parlimen Umno yang telah menyatakan sokongan terhadap Anwar?
Apakah para pemimpin DAP yang sebelum ini telah berikrar tidak sesekali bekerjasama dengan para pemimpin Umno kini boleh menerima ahli-ahli parlimen parti itu?
Ini kerana, selain ketentuan Ilahi, di tangan ahli-ahli parlimen Umno serta di tangan pemimpin DAP inilah kelangsungan kerajaan PN sekarang bergantung.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai