Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli ekonomi saran hasil zakat bantu peminjam perumahan

Ahli ekonomi, Prof Barjoyai Bardai menyarankan pusat zakat membantu peminjam yang terkesan selepas moratorium pinjaman berakhir hujung bulan ini.

Beliau berkata, ia khususnya membabitkan individu yang mempunyai pinjaman perumahan bagi mengelakkan rumah mereka dilelong.

Jelasnya, kumpulan ini juga termasuk dalam golongan asnaf yang layak menerima bantuan daripada pusat zakat.

"Bagi saya hasil zakat boleh digunakan untuk selesaikan masalah hutang yang dihadapi peminjam.

"Namun, ia perlu diberi khusus kepada peminjam yang ada pinjaman perumahan, kalau tidak bayar (rumah) akan kena lelong.

"Kita tak boleh benarkan satu famili tiada tempat tinggal sekiranya rumah mereka dilelong," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan reaksi daripada Pusat Zakat bagi melihat sejauh mana realistik cadangan tersebut.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan hutang secara bersasar selepas tamatnya moratorium pinjaman enam bulan, yang bermula April lalu, pada 30 September ini.

Bermula Oktober, para peminjam perlu menyambung pembayaran hutang bank namun sejumlah kategori mendapat beberapa kemudahan.

Ia termasuk penagguhan selama tiga bulan bagi mereka yang kehilangan kerja, pengurangan bayaran bulanan bagi mereka yang dipotong gaji dan peminjam boleh berunding dengan bank untuk mendapat bentuk bantuan tertentu.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga perlu memainkan peranan bagi membantu peminjam.

Katanya peranan badan itu penting bagi membolehkan peminjam mencari jalan terbaik untuk mereka membayar balik pinjaman selepas moratorium berakhir.

"Bagi pinjaman perniagaan, kalau perniagaan mereka tenat, ia masih boleh melepaskan diri kerana pinjaman ini membabitkan syarikat," katanya.