Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hisham tolong kempen untuk satu-satunya calon Puteri Umno

PRN SABAH | Menteri Luar, Hishammuddin Hussein hari ini mengikut kempen calon pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Hazulizah Mohd Dani di N53 Sekong.

Hazulizah merupakan satu-satunya calon daripada Puteri Umno.

Bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang berusia 35 tahun itu bakal menentang enam calon lain untuk merebut salah satu kerusi Dun di bawah parlimen Batu Sapi, kira-kira 9km dari Sandakan.

"Saya sangat gembira.

"Saya lihat peluang yang diberikan kepada calon muda, dan bila saya tengok macam mana dia berinteraksi dengan penduduk, sebagai bekas pegawai Jasa, dan penerimaan orang ramai juga menggembirakan saya," kata Hishammuddin kepada wartawan selepas Hazulizah menemui pengundi di Kampung Sundang Laut.

"Ini memberikan keyakinan bahawa Insya-Allah pada tarikh keramat nanti kita akan nobatkan (Hazulizah) sebagai YB," tambah Anggota Parlimen Sembrong itu.

Kampung yang berada di bawah daerah mengundi Lupak Meluas itu merupakan salah satu daripada enam daerah mengundi di Sekong yang terdiri daripada rumah air yang dihubungkan oleh jambatan simen dan kayu.

Di bawah sebahagian rumah kelihatan air berwarna hitam yang dipenuhi sampah dan sisa-sisa buangan lain.

Bercakap kepada wartawan, Hazulizah mengulangi janji BN untuk membantu lebih 3,000 penduduk kampung, termasuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan status tanah.

"BN cukup komited apabila kita fikirkan tentang kemudahan asas dan infrastruktur. 

"Jika kita diberikan mandat kita akan cuba sedaya-upaya membantu apa keperluan masyarakat di kawasan ini," kata naib ketua Puteri Umno Sabah itu.

Sebelum itu, Hishammuddin berucap di hadapan lebih 100 penduduk kampung yang berkumpul di bawah khemah di sebuah padang yang agak berdebu.

Turut dilihat di kawasan itu ialah dengan deretan tong plastik besar berwarna biru bagi menyimpan bekalan air bersih penduduk.

[Baca berita penuh]