Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ismail ulangi rasa kesal tindakan perkecil pengorbanan tentera

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengulangi rasa kesalnya terhadap tindakan seorang pemimpin politik Sabah yang memperkecilkan anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa ketika menjaga keselamatan negara, khususnya Sabah.

Katanya perbuatan ahli politik itu yang menyifatkan insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 sebagai sandiwara tidak harus dipandang ringan atau diterima.

"Walaupun dia minta maaf, ini (permohonan maaf) bukan lesen kepada setiap orang untuk guriskan hati semua orang, akhirnya minta maaf.

"Saya harap perkara ini tidak berlaku (lagi) dan saya difahamkan ramai rakyat Sabah yang telah membuat laporan polis, begitu banyak sekali. Saya serah kepada pihak polis," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Putrajaya hari ini.

Menteri Pertahanan itu menegaskan peristiwa pencerobohan yang mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan tersebut benar-benar berlaku dan tiada orang yang berlakon untuk mati dalam kejadian berkenaan.

Ismail Sabri juga menyifatkan pemimpin berkenaan sebagai tidak peka terhadap kesedihan keluarga yang kehilangan anak, suami dan bapa dalam insiden berdarah itu.

"Kita nampak dalam media bagaimana sedihnya apabila keluarga menerima mayat anggota yang terbunuh ketika itu. Jadi saya percaya orang ini adalah seorang yang tidak bertanggungjawab, tidak sensitif," katanya.

Semalam, satu klip video ucapan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohamaddin Ketapi mempersendakan pasukan keselamatan ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tular menerusi media sosial sehingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

Susulan itu, beliau tampil dengan permohonan maaf dan menjelaskan kenyataannya berhubung pasukan keselamatan seperti yang diucapkan beliau dalam klip video itu telah disalah erti.

- Bernama