UOB Kepong ditutup setelah pekerja positif Covid-19
Bank United Overseas (UOB) cawangan Kepong ditutup sehingga 5 Oktober susulan kerja-kerja pembasmian kuman setelah seorang pekerjanya diuji positif Covid-19 berikutan lawatan ke Sabah.
Pada masa yang sama, CIMB mengesahkan lima kakitangan bank itu di cawangan Kota Damansara telah dikuarantin setelah mempunyai hubungan rapat dengan individu yang positif itu.
Menurut bank itu, kelima-lima kakitangan tersebut adalah dari Mobile Sales Force (MSF) CIMB dan tidak mempunyai kontak dengan kakitangan CIMB Kota Damansara atau TTDI.
"Bagi kedua-dua lokasi, cawangan dan pusat MSF berada di tingkat yang berasingan dari bangunan masing-masing," katanya.
Menurut CIMB, cawangannya di Kota Damansara dan TTDI tetap akan dibuka kepada pelanggan seperti biasa.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, kedua-dua bangunan akan menjalani pembersihan dan pembersihan menyeluruh malam ini untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami," kata bank itu dalam satu kenyataan.
Tidak jelas jika individu itu adalah kakitangan atau pakar khidmat pinjaman di UOB.
Menurut UOB, individu berkenaan dijangkiti setelah melawat Lahad Datu dan Semporna pada 10 hingga 13 September lalu.
UOB berkata, bank berkenaan sedang menjejak hubungan antara kakitangan dan pelanggan.
Ini adalah kes jangkitan pertama di Semenanjung Malaysia yang diketahui oleh seseorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah, berikutan peningkatan kes di negeri tersebut bermula bulan lalu.
Mengesahkan kes itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan setakat ini belum ada kluster yang berkaitan dengan pekerja UOB, yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.
KKM hari ini mengumumkan 60 kes baru di Sabah, termasuk satu kluster - yang ketujuh dikesan di Sabah bulan ini.
Sejumlah 41 adalah dari kluster LD Benteng, sebahagian besar mereka adalah tahanan di Tawau dan Lahad Datu.
Walaupun gelombang peningkatan kes di Sabah baru-baru ini tertumpu di pusat-pusat tahanan, namun semakin banyak kes turut dikesan di kalangan masyarakat di pantai timur dan juga di Likas, Kota Kinabalu dan Beaufort.
Sejumlah 1189 kes dilaporkan di Sabah sejak wabak itu bermula pada bulan Januari.
Jumlah kes di Malaysia adalah 10,358 manakala jumlah kematian pula adalah 130 kes.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai