Peruntukan RM80 juta untuk Kampung Baru Cina - Zuraida
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM80 juta tahun ini untuk aktiviti komuniti serta pembangunan infrastruktur di Kampung Baru Cina di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata RM60 juta diperuntukkan untuk kegiatan komuniti seperti ceramah dan gotong-royong, manakala selebihnya untuk penduduk membuat pinjaman peribadi menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).
"Kita ada peruntukan RM20 juta untuk mereka yang ingin berniaga, bina rumah atau keperluan peribadi lain…mereka boleh mohon dan kelulusan adalah di peringkat KPKT dan duitnya dikeluarkan oleh BSN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru di kementeriannya di Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis itu, 109 pengerusi JPKKP Kampung Baru dari Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima watikah pelantikan selama setahun berkuat kusa 1 Sept lepas.
Zuraida berkata mereka yang dilantik itu perlu aktif melaksanakan program-program komuniti bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu selain menguruskan hal-hal kebajikan penduduk.
"Setiap pengerusi JPKKP ini diberi peruntukan sehingga RM100,000 untuk membuat program di kampung-kampung dan mereka perlu sampaikan polisi kerajaan dengan bahan boleh diambil di peringkat kementerian," katanya.
Pengerusi JPKKP juga boleh membantu dengan sentiasa menyebarkan amalan kesihatan yang perlu diterapkan terutama ketika negara dilanda wabak Covid-19, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai