Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lepas sindiran Nazri, Muda Syed Saddiq terima 7,000 keahlian

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpandangan sindiran Anggota Parlimen Umno Nazri Abdul Aziz terhadapnya telah membantu menaikkan parti barunya, Malaysian United Democratic Alliance atau Muda.

Menurutnya, susulan sindiran Nazri yang menyifatkannya sebagai "naif dan tak matang", Muda menerima sejumlah 7,000 permohonan keahlian dalam masa 12 jam.

"Selepas disindir Nazri, kami menerima lebih 7,000 ahli baru dalam masa 12 jam. Jangan pandang rendah kebijaksanaan rakyat.

"Orang muda, kita kuasa disruptif yang kuat. Ayuh disrupt bersama Muda," ciapnya di Twitter hari ini.

Dalam wawancara bersama Malay Mail yang diterbitkan semalam, Nazri setuju dengan pandangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap usaha baru Syed Saddiq.

"...Ia tak akan berhasil. Seperti Mahathir kata, ia mengecualikan orang tua. Kedua, bukan semua orang muda akan menyokong parti muda.

"Semua parti ada sayap pemudanya sendiri, dan Pemuda Umno adalah gerakan yang sangat kuat. Anda fikir mereka mahu tinggalkan Umno dan sokong partinya? No way," katanya.

Mempersoalkan takrifan muda Syed Saddiq, Nazri juga berkata kemenangan Anggota Parlimen Muar itu pada PRU14 adalah disebabkan sentimen terhadap BN.

Katanya lagi, yang memang dikenali sebagai tidak berlapik, keldai pun akan mampu mencapai kemenangan yang sama.

"Sebab ketiga ialah, tidakkah dia akan menjadi tua? Apa takrifannya tentang muda? 40 tahun? 50 tahun? atau ia sepatutnya 20-an sepanjang masa?

"Saya fikir dia hanya naif...Dia menang bukan sebab dia pemimpin belia yang popular. Ia kerana arus yang melanda BN pada masa itu.

"Jika anda calonkan keldai, ia juga akan menang," katanya lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq memberitahu Malaysiakini bahawa Muda adalah parti "dipimpin oleh anak muda" dan bukannya "eksklusif untuk golongan muda".

Parti itu juga akan memperjuangkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan usia, katanya lagi.

[Baca berita asal]