Internet percuma: 'Nak kaji apa lagi, laksana terus' - Fahmi gesa Zahidi
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyoal Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin yang berkata kerajaan akan meneliti kemungkinan menyediakan perkhidmatan internet atau rangkaian jalur lebar percuma di institusi pengajian tinggi di negara ini.
"Hampir kesemua atau memang semua IPT sudah ada internet percuma untuk mahasiswa. Setahu saya, seluruh kampus UM ada prasarana asas ini.
"Dan jika pun ada mana-mana IPT yang belum ada internet percuma, mengapa masih perlu dikaji dibincang? Laksanakan terus sahaja lah!
"Apa masalah Timbalan Menteri ini sebenarnya," soal Fahmi pada hantaran di Facebook malam ini.
Terdahulu, Zahidi berkata pihaknya bercadang dan mahu berbincang mengenai bagaimana boleh merealisasikan penyediaan internet atau ‘wi-ii’ percuma di semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Pada masa yang sama, kita juga mahu ia dipanjangkan kepada institut pengajian tinggi lain agar dapat mengurangkan perbelanjaan besar yang terpaksa ditanggung pelajar, sekali gus membantu mereka yang susah,” katanya hari ini.
Zahidi berkata adalah penting untuk memperkasakan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan pemimpin mahasiswa dan juga pelajar memandangkan landskap dunia yang sudah berubah kepada digital selain bakal pemimpin negara perlu bijak ICT.
Pemeriksaan Malaysiakini mendapati bahawa walaupun terdapat akses internet percuma di kampus universiti awam Malaysia, terdapat aduan berterusan mengenai perkhidmatan itu terlalu perlahan.
Awal bulan ini Zahidi dan rakan timbalan menteri, Abdul Rahim Bakri menuduh siswi Universiti Malaysia Sabah Veveonah Mosibin menipu dalam klip video yang dibuatnya untuk membuktikan terdapat masalah talian internet yang lemah di Pitas, Sabah.
Klip video itu menunjukkan dia mengambil peperiksaan dalam talian di atas pokok.
Zahidi dan Abdul Rahim mendapat kritikan kerana tidak mengakui masalah penyambungan internet dan dituduh membuli Veveonah. Zahidi telah meminta maaf atas kenyataannya itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai