Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Walaupun OKU, Sakri lincah berniaga

Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan sebelah kaki ia sama sekali tidak menghalang seorang usahawan kecil berstatus orang kurang upaya (OKU) untuk berdikari termasuk mencari rezeki dengan memanfaatkan platform e-dagang.

Di samping mengusahakan kedai runcit, Mohd Sakri Ibrahim, 44, mengambil kesempatan memasarkan pelbagai produk melalui jualan dalam talian.

Berbekalkan pengalaman sebagai jurujual sebelum ini katannya, perkembangan perniagaan hari ini sekarang bergerak maju dan perkara itu memudahkan lagi usahawan OKU untuk turut mengambil peluang.

"Sambil berniaga secara fizikal, saya ambil peluang untuk pasarkan pelbagai produk menggunakan portal e-dagang seperti Shopee dan aplikasi Facebook.

"Antaranya seperti produk penjagaan dan keperluan diri, pakaian, produk berasaskan minuman dan makanan. Saya bermula sejak dua tahun lalu, selepas menyertai satu kursus jualan dalam talian," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Bazar Tok Guru, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Sakri berkata, setakat ini jualan mendapat sambutan menggalakkan walaupun mempunyai saingan tersendiri.

Menurutnya, memandangkan kedainya terletak di sebuah pusat borong, ia memudahkannya untuk mendapatkan pelbagai produk untuk dipasarkan.

"Jualan dalam talian ini ada persaingan dari segi harga. Saya terpaksa berdepan dengan penjual yang menetapkan harga lebih rendah, jadi ia memberi cabaran kerana kita perlu ikut paras harga jualan itu.

"Tapi ia perkara biasa dalam bidang keusahawanan. Kita hadapi selagi ada kemampuan untuk berdikari," kata anak bongsu daripada tiga adik beradik yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Sementara itu, walaupun diuji dengan kekurangan fizikal, Mohd Sakri tetap mampu mengendalikan kedai runcit secara kecil-kecilan secara sendiri.

Pengalaman bekerja sebelum ini dijadikan sandaran untuknya menguruskan perniagaan yang dijalankan sejak tiga tahun lalu itu.

"Menjadi peniaga kedai runcit dalam keadaan seperti saya ini memang mencabar kerana keupayaan yang terhad, terutamanya saya tidak boleh lakukan kerja-kerja terlalu berat.

"Namun, selagi ada kudrat saya akan usahakan sendiri apa yang terdaya," jelasnya yang berharap golong kurang bernasib baik sepertinya turut berusaha dan berdikari.

Tambahnya, apa yang diusahakannya ini bukannya untuk meraih pendapatan yang besar sebaliknya sudah mencukupi untuk menampung keperluan diri serta tidak bergantung kepada simpati orang lain.