Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

HK larang penerbangan dari KL lepas penumpang positif Covid-19

Hong Kong mengeluarkan larangan terhadap penerbangan antara kota itu dengan Kuala Lumpur selama dua minggu, selepas lima individu dari India yang transit di Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19.

Menurut laporan South China Morning Post, lima individu itu menaiki penerbangan Air India Express ke Kuala Lumpur sebelum menaiki pesawat Cathay Dragon untuk ke Hong Kong pada Jumaat lalu.

Laporan itu memetik jurucakap Cathay Dragon yang berkata pihaknya dimaklumkan oleh pihak berkuasa kesihatan Hong Kong pada Sabtu lalu berhubung lima penumpang pesawat KA734 yang dijangkiti virus itu.

"Susulan arahan Jabatan Penerbahgan Awam, kami akan menggantung perkhidmatan penumpang antara Hong Kong dan Kuala Lumpur sehingga 3 Oktober," katanya.

Syarikat penerbangan itu turut berkata mereka sedang berusaha mengesan penumpang lain yang menjadi kontak rapat lima individu itu, selain melakukan pembersihan terhadap pesawat yang terlibat.

Penumpang yang terjejas akibat larangan tersebut akan menerima bayaran balik atau diberi perjalanan alternatif.

Menurut South China Morning Post, Air India turut dikenakan larangan sama pada Ogos lalu selepas beberapa penumpangnya didapati positif Covid-19 selepas tiba di Hong Kong.

"Langkah ini, sebulan selepas Air India dikenakan itndakan sama, telah menutup laluan utama buat ribuan warga India yang masih cuba untuk kembali ke Hong Kong selepas terkandas beberapa bulan di luar," menurut laporan itu.