Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemilihan presiden MTUC buntu, ROS diminta campur tangan

Pemilihan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berakhir dengan kebuntuan setelah undian seri yang melibatkan dua peserta.

Kedua-dua penyandang presiden, Abdul Halim Mansor dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia (NUPCIW) dan Mohd Jafar Abd Majid dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia (NUTE) memperoleh 136 undi, lapor Free Malaysia Today.

Situasi itu berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah 71 tahun MTUC, kata laporan itu.

Ini menyebabkan Setiausaha Agung yang baru dilantik, Kamarul Baharin Mansor dari Kesatuan Pengurusan Sisa Kebangsaan (NUMW) akan mengkaji perlembagaan MTUC dan meminta nasihat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum mengambil langkah seterusnya.

Timbalan Presiden yang baru dilantik, Mohd Effendy Abdul Ghani dari Kesatuan Pekerja-pekerja Pos akan menjadi pemangku presiden.

Kamarul mengalahkan setiausaha agung J Solomon yang hanya memperoleh 98 undi dalam pertarungan tiga penjuru.

Kamarul menang dengan 143 undi sementara Gopal Kishnam Nadesan dari Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu memperoleh 132 undi.

Laporan itu juga menyatakan bahawa hanya kira-kira 400 daripda 507 perwakilan yang hadir dalam persidangan itu kerana beberapa perwakilan dari Sarawak bimbang risiko wabak Covid-19.

Sementara itu, empat kesatuan telah pergi ke mahkamah untuk mencabar kesahihan persidangan itu, di mana peguam mereka, Srividhya Ganapathy menyifatkan persidangan perwakilan khas itu tidak selari dengan perlembagaan MTUC.

Laporan itu menyatakan bahawa MTUC mahukan ROS campur tangan dan mengawasi pemilihan, sambil memastikan jawatankuasa kerja bertindak sesuai dengan perlembagaan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 29 September.