Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Hujan lebat punca banjir kilat, bukan kegagalan terowong Smart'

Banjir kilat yang melanda ibu negara baru-baru ini bukan disebabkan kelewatan atau kegagalan fungsi terowong Smart.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata terowong Smart telah diaktifkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pada hari kejadian.

"Terowong Smart berfungsi dan telah diaktifkan mengikut SOP (pada hari kejadian)," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya mengenai punca menyebabkan Kuala Lumpur dilanda banjir walaupun terowong Smart telah diaktifkan, Nor Hisham berkata, banjir berkenaan disebabkan faktor hujan yang banyak serta sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung air larian hujan.

"Disebabkan oleh hujan yang banyak dalam tempoh yang singkat dan sistem saliran sedia ada yang tidak dapat menampung air larian hujan," katanya lagi.

Pada 12 Sept lalu, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat yang mengakibat beberapa kawasan di ibu kota terjejas teruk.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang ingin mendapatkan maklumat pihak terowong Smart berhubung kejadian itu.

Ia ekoran ada dakwaan bahawa terowong bernilai RM1.9 bilion itu lewat diaktifkan sejam yang mengakibatkan Kuala Lumpur dilanda banjir.

Smart mula beroperasi sejak tahun 2007 untuk mengatasi masalah banjir dan kesesakan trafik di Kuala Lumpur.

Terowong itu beroperasi dengan empat mod. Mod pertama sebagai laluan trafik, mod kedua apabila banjir berlaku air akan mengalir ke bahagian bawah terowong, namun bahagian atas tetap dibuka sebagai laluan trafik. 

Bagi mod ketiga laluan trafik akan dikosongkan dan ditutup dalam masa sejam apabila air memasuki terowong.

Manakala mod keempat air akan dialirkan ke laluan trafik dan terowong akan ditutup serta hanya akan dibuka semula selepas 48 jam bagi kerja-kerja pembersihan.