Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mengapa pegawai kewangan Melaka ditukar tergesa-gesa, tanya Adly

Bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri itu menukar serta-merta pegawai kewangan yang dianggap berkhidmat dengan cemerlang.

Kata Adly, walaupun pertukaran seseorang kakitangan awam memang bukanlah sesuatu yang aneh, namun tempoh yang tergesa-gesa itu dianggap sebagai luar biasa.

"Pertukaran kakitangan awam adalah perkara biasa, ditukarkan dengan tergesa-gesa adalah luar biasa.

"Pegawai kewangan sedia ada bagi saya cukup cemerlang. (Dia) berjaya meningkatkan pendapatan negeri pada 2019 berbanding 2018 dengan lebihan kewangan sebanyak RM17 juta pada 2019," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Adly, hasil kerja keras pegawai kewangan terbabit Melaka mendapat manfaat yang banyak serta pada masa sama mampu berjimat-cermat.

Misalnya, kata Adly, inisiatif seperti skim Rumah Peduli, perkhidmatan bas percuma, bantuan lampin pakai buang, parkir percuma dan kad kesihatan di Melaka dapat dibuat hasil pengurusan kewangan yang cekap oleh pegawai berintergriti.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan siapakah pegawai kewangan yang dimaksudkan Adly namun berdasarkan carian pada laman sesawang rasmi kerajaan negeri, jawatan itu kini disandang Hanafi Sakri.

Siapa punya arahan

Adly turut mempersoalkan sama ada amalan tender terbuka atau sebab lain yang menyebabkan pegawai kewangan dimaksudkannya itu diberi arahan tukar serta-merta mulai esok.

Pada masa sama, kata Adly, agak mustahil jika Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, yang mengarahkan pertukaran tersebut kerana kecemerlangan tugas yang dilakukannya.

"Persoalannya kenapa beliau ditukar serta-merta? Apakah amalan tender terbuka yang menjadi amalan kewangan menjadi punca beliau ditukar?

"Yang paling menjadi persoalan, arahan siapa bagi menukar pegawai kewangan negeri?" katanya.

Tambah Adly tidak mungkin Sulaiman menukar pegawai kewangan negeri yang cekap dan amanah dalam keadaan rakyat Melaka berdepan dengan ancaman Covid-19 serta pendapatan negeri berkurangan dan ada masa sama perbelanjaan pembangunan dijangka mencapai hanya 24 peratus sehingga Sept ini.

Sementara itu, Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Melaka, Idris Haron, ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pertukaran tersebut itu.

"Ya betul," katanya ringkas. Bagaimanapun Idris tidak menyatakan sebab pertukaran berkenaan dibuat.