Pindaan akta bagi kekang pemanduan mabuk ke Dewan Negara minggu depan
Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Ogos lepas akan dibentangkan semula di Dewan Negara minggu hadapan untuk dilulus dalam usaha mengekang pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sekiranya RUU itu diluluskan dan mendapat sokongan semua Senator, ia boleh diwartakan selepas tempoh yang ditetapkan dan dengan hukuman yang lebih berat, ia akan mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan itu.
“Kita tidak menyekat hak sesiapa untuk minum minuman keras tetapi yang penting ialah kalau hendak minum jangan memandu, itu mesej yang jelas.
“Melihatkan kepada statistik kemalangan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, semakin banyak kes yang melibatkan pemandu mabuk, berdasarkan soal selidik daripada 345,000 orang, sebanyak 94 peratus mahu pemandu mabuk dikenakan hukuman yang berat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kempen #Celebrate Responsibly dan Sesi Dialog ‘Memandu Dalam Keadaan Mabuk: Dari Agenda Bersama ke Penyelesaian Bersama’ di Ibu Pejabat Sin Chew Daily, Petaling Jaya di sini, hari ini.
Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan.
Melalui pindaan, kadar denda yang dikenakan lebih tinggi sehingga RM150,000 dan tempoh penjara hingga 20 tahun serta penggantungan lesen memandu.
Wee berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi peringatan dan mendidik masyarakat tentang akibat bahayanya memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Pindaan itu juga bukan kami (kementerian) ambil dari mana-mana, kami mengikut standard ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Kempen #Celebrate Responsibly anjuran Sin Chew Daily dengan kerjasama Carlsberg Malaysia itu bertujuan memupuk kesedaran akan kepentingan bagi individu mengubah sikap agar tidak memandu dalam keadaan mabuk.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai