Kit Siang terkejut Bung tolak slogan 'In God we trust'
PRN SABAH l Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terkejut dengan tindakan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin yang membantah dan mempersoalkan kesesuaian penggunaan ungkapan atau slogan 'In God We Trust, Unite We Must' oleh Warisan.
Bung dilaporkan berkata bahawa slogan ‘kepercayaan kepada Tuhan’ yang digunakan di papan tanda serta menampilkan wajah Shafie sama dengan cogan kata Filipina, iaitu negara yang kini menuntut Sabah.
"Di negara Filipina, 'In God We Trust' adalah antara ungkapan yang sinonim dengan mereka. Salah satu perkampungan di negara itu turut memaparkan ungkapan yang sama pada pintu gerbang.
“Kenapa Warisan mahu tiru sedangkan kita tahu Filipina mahu menuntut Sabah?” soal Bung yang dipetik oleh Utusan Borneo pada Selasa lalu.
Menurut Lim, bantahan ketua Umno Sabah itu sesuatu yang tragis, terutama ketika negara ini sedang meraikan ulang tahun ke-50 Rukun Negara.
"Lima prinsip Rukun Negara mengajar rakyat Malaysia percaya kepada Tuhan, setia kepada Raja dan negara, menghormati keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, serta bersikap sopan santun dan berakhlak mulia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata bahawa jika semua rakyat mendukong prinsip Rukun Negara, maka akan ada perpaduan nasional serta keharmonian antara kaum dan agama.
"Apa yang boleh diharapkan oleh rakyat Sabah terhadap Umno dan BN Sabah ketika mereka menentang slogan 'In God we trust, unite we must'?
"Adakah rakyat Sabah menjangkakan tidak akan ada lagi Tuhan dan Sabah serta Malaysia yang tidak bersatu padu jika Bung menjadi ketua menteri Sabah pada 26 September?" soal Lim.
Bung bertanding di kawasan pilihan raya Lamag dan dinamakan sebagai calon ketua menteri yang berpotensi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai