Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Di Indonesia, tangkap pelaku kebakaran hutan umpama menangkap asap

Pakar forensik kebakaran hutan, Bambang Hero Saharjo masih ingat dengan jelas kebakaran di kawasan tanah dan hutan yang berlaku di kawasan konsesi PT Bumi Mekar Hijau di Ogan Komering Ilir, Sumatera Selatan, enam tahun lalu. 

Kebakaran tersebut melanda kawasan seluas 28,000 hektar.

Bumi Mekar Hijau, pembekal balak untuk Asia Pulp & Paper (APP) Sinar Mas - sebuah kumpulan perniagaan yang dimiliki hartawan Eka Tjipta Widjaja - yang meninggal dunia pada usia 97 tahun awal tahun lalu -  disaman dua kali atas kejadian tersebut.

Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia telah mengheret Bumi Mekar Hijau ke mahkamah, selain satu kes jenayah difailkan berikutan siasatan polis.

Bambang (bawah), seorang profesor pemuliharaan hutan di Universiti IPB, Bogor, adalah antara anggota pasukan pakar bagi kedua-dua kes mahkamah ini.

"Saya pergi ke lokasi ketika kebakaran masih marak," katanya.

Bambang berkata, waktu yang lama diambil untuk meredakan kebakaran itu kerana syarikat itu tidak memiliki infrastruktur dan peralatan untuk memadamkannya.

Selain tidak memiliki menara pemadam kebakaran, Bumi Mekar Hijau hanya memiliki enam anggota bomba, yang hanya menggunakan dua motosikal lama dan tinggal di asrama biasa.

Halangan di mahkamah sivil dan jenayah

Walaupun terdapat kes kecuaian yang jelas, saman sivil berdepan halangan di mahkamah.

Dalam tuntutan sivil, Bumi Mekar Hijau didakwa tidak berusaha keras untuk mencegah kebakaran berkenaan.

Mahkamah Negeri Palembang mengadakan perbicaraan di lokasi kebakaran pada Nov 2015, setahun setelah kunjungan Bambang ke lokasi tersebut. Para hakim menjemputnya ke perbicaraan itu.

Bambang mengatakan bahawa pada kunjungan keduanya ke lokasi tersebut, sebuah menara pemadam api setinggi 20 meter sudah didirikan, bersama dengan asrama besar dan gudang untuk memadam kebakaran. 

Puluhan anggota bomba dengan pakaian seragam lengkap dan sebuah trak berkembar juga berada di lokasi.

"Seseorang yang tidak pernah berada di sana sebelumnya akan menyangka bahawa syarikat itu telah lama memiliki infrastruktur dan peralatan pemadam kebakaran," katanya.

Kerana alat pemadam kebakaran yang mengagumkan, mahkamah memutuskan untuk menolak saman sivil oleh Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia.

Ketua hakim Parlas Nababan melepaskan Bumi Mekar Hijau daripada membayar pampasan material dan pemulihan alam sekitar sebanyak Rp7.6 trilion (RM2.1 bilion).

Dalam rayuan Mahkamah Tinggi, para hakim membenarkan saman berkenaan tetapi nilai pampasan diturunkan menjadi Rp78 bilion.

Bambang kemudian meminta Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia untuk mengemukakan permohonan ke mahkamah lebih tinggi, di mana mahkamah diminta untuk menyemak semula kes berdasarkan penafsiran undang-undang.

Walaupun kementerian setuju, pihaknya tidak mengemukakan permohonan  tepat pada waktunya.

"Alasannya adalah bahawa dokumen penghakiman hilang," kata Bambang.

Keputusan yang dilaksanakan kemudian adalah berdasarkan kepada keputusan yang dikeluarkan untuk rayuan.

Kes jenayah menyaksikan nasib yang lebih buruk. Pada Sept 2015, Bahagian Penyiasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia (Bareskrim) menamakan pengurusan Bumi Mekar Hijau sebagai suspek kebakaran di kawasan tanah konsesi miliknya.

Tetapi sehingga kini, tidak jelas bagaimana kes itu ditangani dan Bambang belum diberi maklumat terkini.

Ketika dihubungi, jurucakap polis nasional, Pesuruhjaya Kanan Awi Setiyono mengatakan bahawa dia tidak "memahami perincian kes itu".

Sekurang-kurangnya 29 dalang

Auriga Nusantara, sebuah organisasi yang memantau pengurusan sumber daya alam, berkata pihaknya merekodkan sekurang-kurangnya 29 syarikat yang dinamakan sebagai suspek kebakaran di kawasan tanah dan hutan sejak 2015. 

Daripada jumlah itu, hanya 10 yang dibawa ke mahkamah.

"Enam didapati bersalah, dua dibebaskan, dan dua yang lain masih di mahkamah," kata pengarah media dan komunikasi Auriga, Syahrul Fitra.

Selebihnya adalah enam kes yang masih dalam siasatan dan dua siasatan telah dihentikan. Nasib 11 kes yang tinggal tidak jelas.

"Mereka hilang begitu saja. Salah satunya adalah kes jenayah Bumi Mekar Hijau, ”kata Syahrul.

Saman sivil dilihat mempunyai lebih banyak peluang untuk mengheret pelaku berbanding kes jenayah. 

Daripada 40 syarikat yang disaman kerana didakwa menyebabkan kebakaran di tanah konsesi mereka sepanjang tahun 2014, sebanyak 17 syarikat diminta membayar pampasan dengan nilai keseluruhan Rp17,82 trilion.

Daripada jumlah itu, sembilan syarikat didapati bersalah dan diwajibkan membayar pampasan dan pemulihan hutan sebanyak Rp3.45 trilion. 

Tetapi daripada semua keputusan tersebut, hanya Rp269,8 bilion yang dapat dijelaskan, iaitu dari PT Riki Kurniawan Kartapersada dan Bumi Mekar Hijau.

Syahrul mengatakan sukar untuk melaksanakan hukuman kerana Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan tidak memasukkan permintaan untuk merampas aset di mahkamah.

Akibatnya, walaupun ada keputusan bersalah, hakim sering tidak memasukkan permintaan untuk merampas aset.

Kesannya ialah syarikat-syarikat ini dapat mengelakkan pembayaran kerana tidak ada aset yang dijadikan jaminan.

'Tiada tindakan'

Ketika keadaan menjadi lebih buruk pada Oktober 2019, pengarah penguatkuasaan undang-undang Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (Gakkum) mengumumkan bahawa pihaknya telah menyita konsesi yang dimiliki oleh 64 syarikat. 

Pada masa itu, lapan daripadanya telah dinyatakan sebagai suspek jenayah.

Tetapi kebakaran baru-baru ini yang dilihat sekali lagi merosakkan kawasan Bumi Mekar Hijau belum mendorong pihak penguatkuasa undang-undang untuk mengambil tindakan.

Ketua Direktorat Jenderal Penegakkan Hukum (Gakkum) di Sumatera Area III, Harianto mengatakan ketika ini pasukannya masih mengendali kebakaran hutan membabitkan 14 syarikat konsesi perladangan dan hutan.

"Semua dikenakan sekatan pentadbiran. Beberapa kes diangkat ke saman sivil, dan ada yang ditangani oleh polis sebagai kes jenayah, ”katanya.

"Kes Bumi Mekar Hijau dikendalikan secara terus oleh pusat (Gakkum)," tambah Harianto.

Di Jakarta, tidak ada pegawai Gakkum yang bersedia untuk ditemubual.

Pengarah penyelesaian pertikaian alam sekitar kementerian berkenaan, Jasmin Ragil Utomo tidak memberikan respon selain memaklumkan "Saya masih sibuk" pada 3 Sept.

Begitu juga, pengarah penguatkuasaan undang-undang jenayah Yazid Nurhuda meminta agar hasrat untuk menemubualnya dihantar kepada pihak atasannya. 

Ketua Pengarah Gakkum, Rasio Ridho Sani juga tidak memberi maklum balas terhadap kiriman mesej yang dihantar dan menolak panggilan telefon kami.

Sementara itu, jurucakap polis Sumatera Selatan Senior Asisten Komisioner Supriadi mengatakan polis tidak terlibat dalam menangani sebarang kes kebakaran kawasan tanah dan hutan yang melibatkan tanah Bumi Mekar Hijau.

"Kami mendapati satu syarikat sebagai suspek kebakaran hutan, tetapi bukan Bumi Mekar Hijau," tambahnya.

Pada masa penulisan ini, Tempo belum mendapat maklum balas daripada pihak pengurusan Bumi Mekar Hijau. 

Pejabat Bumi Mekar Hijau di Jalan R Soekamto, Kompleks PTC No. I / 62, Palembang, ditutup ketika kami mengunjunginya pada 4 September. Seorang pekerja di syarikat lain di kompleks yang sama memaklumkan bahawa Bumi Mekar Hijau telah berpindah beberapa bulan yang lalu.

Ketua pegawai kelestarian APP Sinar Mas, Elim Sritaba dalam satu kenyataan berkata firma itu memerlukan syarikat pembekal untuk membersihkan kawasan tanah dengan betul, dan "tidak dengan api".

Laporan berkaitan:

IOI: 'Kecuaian' penduduk punca kebakaran di Kalimantan

Kebakaran di konsesi IOI ketika jerebu dikaitkan dengan perladangan baru


Laporan ini diterbitkan oleh majalah Indonesia Tempo sebagai sebahagian dari siri tentang kebakaran hutan, tanah dan jerebu. Malaysiakini menyumbang kepada sebahagian daripada siri ini.