Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bersih batal debat antara calon KM Sabah

Pengawas pilihan raya Bersih 2.0 membatalkan rancangannya untuk mengadakan debat antara pemimpin politik yang dikaitkan sebagai calon ketua menteri Sabah.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata keputusan itu dibuat kerana hanya satu calon yang setuju untuk menyertai acara tersebut, yang dijadualkan pada hari Sabtu ini.

Menurut NGO itu, satu-satunya ahli politik yang telah bersetuju adalah Pandikar Amin Mulia, yang merupakan pemimpin untuk United Sabah National Organisation (Usno).

"Pandikar Amin adalah jemputan pertama yang memberikan respons positif terhadap undangan tersebut sebaik sahaja Bersih 2.0 menghantar jemputan kepada beliau.

"Calon-calon lain untuk jawatan ketua menteri yang telah dijemput adalah Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, Presiden Parti Cinta Sabah Anifah Aman, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin, Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor dan bekas ketua menteri SabahChong Kah Kiat dari Parti Liberal Demokratik(LDP).

"Namun semua calon ini tidak memberi sebarang respon ataupun tidak setuju menyertai debat perdana sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh kami," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataan media hari ini.

Bersih justeru memuji Pandikar Amin kerana bersedia berdepan pengundi dan menjelaskan visi dan manifesto partinya untuk Sabah.

"Ini memberi contoh yang baik dalam menyumbang budaya pilihan raya yang lebih sihat dan matang dengan penglibatan dalam perbahasan dasar agar para pengundi dapat membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya," kata kenyataan itu lagi.

Minggu lalu, Bersih mengeluarkan kenyataan, mengatakan bahawa ia ingin menawarkan untuk mengadakan debat dalam kalangan ahli politik yang bersaing untuk menjadi ketua menteri Sabah pada pilihan raya negeri akan datang.