Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Di kawasan Kadazandusun Murut, Upko menggalas harapan Warisan

PRN SABAH | Selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018 lalu, pembentukan kerajaan baru negeri Sabah tergantung apabila parti komponen BN dan gabungan Warisan, DAP dan PKR masing-masing memiliki 29 kerusi.

Dua lagi kerusi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (Star), sekali gus meletakkan parti itu penentu pihak yang bakal mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Berdasarkan kedudukan itu, Star membuat keputusan untuk bekerjasama dengan 29 Adun BN Sabah agar ia dapat membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Upko yang memenangi lima kerusi memutuskan untuk meninggalkan BN dan memihak kepada Warisan. Justeru ia membantu Warisan membentuk kerajaan negeri.

Namun, selepas dua tahun, PRN diadakan dan Upko buat pertama kalinya bertanding menggunakan logo sendiri.

Pertimbangan itu meletakkan Upko perlu membuktikan ia dapat mengekalkan sokongan dalam kalangan masyarakat Kadazandusun dan Murut serta memainkan peranan penting dalam gabungan Warisan Plus.

Upko adalah parti serpihan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang sebelum ini dikenali sebagai Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu.

Pertubuhan itu ditubuhkan bagi memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa Kadazandusun Murut.

Parti sudah sangat bersedia

Kali ini, bekerjasama dengan Warisan, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau berkata terdapat dua pilihan jelas sebelum rakyat Sabah memilih pada 26 Sept ini.

“Pilihan yang kami persembahkan kepada rakyat adalah kami ingin membentuk kerajaan yang dipimpin oleh parti-parti tempatan.

“Ini telah kita lihat berlaku di Sarawak selama bertahun-tahun. Mereka sangat berjaya mentadbir negeri. Tidak pernah ada parti dominan dari semenanjung yang memimpin kerajaan negeri di Sarawak.

"Di pihak lain, pilihan yang mereka tawarkan ialah kerajaan yang dipimpin oleh parti-parti yang dari semenanjung," kata Madius kepada Malaysiakini dalam wawancara di pejabat Upko di Tuaran, Sabah.

Dalam PRN kali ini, Upko memutuskan untuk bertanding 12 kerusi. Jumlah itu dua kali ganda lebih banyak daripada jumlah kerusi yang mereka tandingi semasa menjadi komponen BN.

Kerusi itu ialah Bengkoka, Tandek, Kadamaian, Kiulu, Kuala Penyu, Paginatan, Tambunan, Kemabong, Nabawan, Telupid, Labuk dan Kuamut.

Menurut Madius, Upko sebenarnya berharap dapat bertanding lebih banyak kerusi kali ini kerana berasakan parti berkenaan memang sangat bersedia.

Turut berkempen untuk PKR 

Anggota parlimen Tuaran berkata Upko ingin sekali bertanding di kerusi berbilang kaum tetapi mereka masih belum diberi peluang.

Untuk rekod, pada 2018, Upko memenangi lima daripada enam kerusi DUN yang ditandinginya.

"Upko bertanding 12 kerusi dan peranan kami adalah untuk memenangi 12 kerusi itu ... Semua kerusi yang diberikan kepada kami adalah kerusi Kadazandusun Murut yang kukuh.

"Pada pilihan raya lalu, Warisan hanya dapat memenangi tiga kerusi di kawasan Kadazandusun Murut, jadi kami ingin menangi 12 kerusi ini," kata Madius.

Madius sendiri bertanding di tempat kelahirannya di Kiulu. Dia akan berhadapan dengan Ketua Penerangan PBS merangkap penyandang kerusi tersebut, Joniston Bangkuai.

Percaturan itu menyaksikan Madius bertanding di kerusi DUN buat pertama kali. Dia mewakili kerusi Tuaran selama empat penggal dan kini mencuba nasib di kerusi DUN Kiulu.

Madius pernah menjadi menteri sains, teknologi dan inovasi di bawah pentadbiran Najib Razak.

Di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Warisan, Madius dilantik menjadi timbalan ketua menteri Sabah.

Semasa berkempen di kawasannya, Madius - yang berada pada kedudukan ketiga dalam senarai calon di kertas undi - menggunakan bahasa isyarat bermaksud "Saya sayang kamu" sebagai cara mudah untuk diingati orang ramai.

Tetapi Madius tidak hanya berkempen di Kiulu kerana Upko juga berjanji kepada sekutu mereka untuk membantu berkempen di daerah Kadazandusun Murut yang lain.

Salah satunya ialah Tamparuli yang majoritinya penduduknya ialah bangsa Kadazandusun Murut. Di situ PKR bertanding menentang calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Calon PKR Alijus Sipil akan berdepan pertarungan sengit di kerusi itu kerana lawannya ialah Setiausaha Agung PBS merangkap penyandangnya Jahid Jahim yang memenangi lebih 50 peratus jumlah undi pada pilihan raya lalu.

Walaupun Upko sebelum ini turut menginginkan kerusi Tamparuli, Madius berkata, dia memaklumkan kepada Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew, mereka akan membantu sepenuh tenaga bagi memenangkan Alijus.

Upko sudah mula berkempen di kawasan itu dengan Madius tampil di ceramah dengan jentera Upko di dewan serbaguna Tamparuli bersama Alijus pada Isnin lalu.

Berucap di hadapan kira-kira 100 orang, Madius memulakan kata-katanya dengan lembut mengenai kerjasama Upko dan Warisan serta rakan sekutu mereka yang lain, selain menjelaskan mengenai proses rundingan kerusi.

[Baca berita penuh]