Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

IOI: 'Kecuaian' penduduk punca kebakaran di Kalimantan

Syarikat konglomerat IOI Corporation Berhad menafikan bahawa kebakaran yang berlaku di salah satu konsesi kelapa sawitnya di Kalimantan tahun lalu mempunyai kaitan dengan aktiviti perladangan di konsesi tersebut.

IOI dan anak-anak syarikatnya dikatakan melaksanakan 'dasar pembakaran sifar' yang ketat bagi akvititi perladangan dan pembukaan tanah baru, malah meminjamkan jentera beratnya kepada penduduk tempatan untuk aktiviti pembersihan hutan dan pertanian mereka sendiri.

Sebaliknya, syarikat itu menyalahkan kebakaran tersebut berpunca daripada musim kemarau yang berpanjangan dan kecuaian pelawat di Sungai Berais - sebuah sungai yang membahagikan kawasan konsesi berkenaan kepada dua bahagian dan diklasifikasikan sebagai kawasan yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi.

“Kawasan itu terkena kebakaran kerana kecuaian mereka yang memasuki kawasan itu untuk berburu, menangkap ikan dan aktiviti lain. Kejadian kebakaran itu berlaku akibat penyebaran api dari Kawasan Pengelolaan Nilai Konservasi Tinggi (HCVMA) yang terletak di sepanjang Sungai Berais.

"Kawasan HCV dilindungi dan oleh itu tidak ada jalan yang dibina untuk memasukinya. Ini menjadi cabaran ketika kebakaran berlaku dan air tidak dapat diangkut dengan mudah ke kawasan itu,”katanya.

IOI memberi respons terhadap penemuan wartawan Malaysiakini dan rakan-rakan media lain bahawa pada waktu kebakaran berlaku di tebing timur Sungai Berais pada Sept tahun lalu, anak syarikat IOI, PT Kalimantan Prima Agro Mandiri sedang membersihkan hutan untuk blok perladangan baru berhampirannya.

Tanah tersebut terletak di daerah Manis Mata, berdekatan selatan Kalimantan Barat, Indonesia.

Pada waktu itu, banyak kebakaran berlaku di wilayah Indonesia, menyebabkan jerebu yang buruk melanda beberapa negara termasuk Malaysia.

Pakar forensik kebakaran hutan, Bambang Hero Saharjo (gambar) berkata kepada Malaysiakini dan rakan-rakan media di Indonesia bahawa analisis titik panas  digunakan untuk membuktikan sumber kebakaran, terutama ketika titik panas pertama kali muncul di kawasan konsesi.

"Biasanya titik panas muncul bersama dengan kegiatan pembersihan hutan oleh industri, ini adalah bukti yang tidak dapat disangkal," katanya.

Bagaimanapun IOI berkata tidak ada asas saintifik untuk menghubungkan pembersihan hutan bagi perladangan baru dengan kejadian kebakaran, atau kemungkinan ia memperburukkan lagi kebakaran.

Selain itu, katanya, pembersihan hutan dan aktiviti perladangan dilakukan sesuai dengan rancangan pembangunan tahunan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa tempatan dan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Ini juga bermaksud bahawa kawasan yang diklasifikasikan mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi tidak terganggu.

Setiap kali titik panas dikesan, IOI berkata pasukan bomba, PT KPAM akan segera dikerah untuk memadamkan api dan menubuhkan pasukan pemadam kebakaran untuk menghentikan penyebarannya.

Ia juga bekerjasama dengan masyarakat sekitar untuk melakukan rondaan di kawasan ini dan membantu dengan aktiviti memadam kebakaran tahun lalu.

Ia menambah PT KPAM telah membangunkan tanah tersebut sejak 2018, tetapi kebakaran tahun lalu menyebabkan rancangan tersebut ditangguhkan di beberapa daerah dan tidak diteruskan sehingga mendapat persetujuan daripada pihak berwajib pada tahun 2020.

"IOI dengan tegas tidak membenarkan pembakaran dalam konsesi. PT KPAM, tanpa berlengah, melakukan semua kerja pemulihan yang perlu di kawasan yang dilanda kebakaran, yang masih berterusan.

"Program kesiapsiagaan kebakaran yang komprehensif telah dibuat tahun ini bagi meminimumkan risiko kebakaran. Ini berdasarkan keutamaan kawasan berisiko tinggi dan penetapan rancangan mitigasi di kawasan khusus serta meningkatkan peralatan, fasiliti dan keupayaan pasukan pemadam kebakaran.

"PT KPAM menggunakan sistem pemantauan satelit, drone dan teknologi baru lainnya untuk mengesan titik panas lebih awal, selain rondaan bersama dan latihan pemadam kebakaran oleh PT KPAM, masyarakat dan pihak berkuasa tempatan," tambahnya.


Esok: Menangkap pelaku jerebu seperti menangkap asap.

Laporan ini adalah usahasama antara Malaysiakini dan rakan-rakan media di Indonesia - Tempo, Betahita, Mongabay dan NGO alam sekitar, Auriga Nusantara dengan sokongan dari Pulitzer Centre menerusi Rainforest Journalism Fund. Penyumbang adalah:

Penanggungjawab: Wahyu Dhyatmika (Tempo)

Ketua projek: Agoeng Wijaya (Tempo)

Penyumbang: Agoeng Wijaya, Agung Sedayu, Ibrahim Arsyad, Aseanty Widaningsih Pahlevi, Aisha Shaidra (Tempo); Kennial Laia (Betahita); Lusia Arumingtyas, Budi Baskoro (Mongabay); Aidila Razak, Koh Jun Lin (Malaysiakini)

Pasukan multimedia: Krisna Adhi Pradipta, Harfin Naqsyabandy, Harry Amijaya (Tempo)

Analisis data: Dedi Pratama Sukmara, Yustinus Seno, Sesil Maharani, Hafid Azi Darma (Auriga Nusantara); Agoeng Wijaya (Tempo); Koh Jun Lin, Lee Long Hui (Malaysiakini).