PRU15: Umno Kelantan akan bantu PAS, akur agihan kerusi - Jazlan
Semua pemimpin UMNO di Kelantan memberi perakuan untuk akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti berhubung agihan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang selain komited membantu calon PAS melalui semangat Muafakat Nasional.
Perkara tersebut dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang turut yakin tidak akan berlaku kes calon Bebas dalam kalangan pemimpin parti itu yang kecewa tidak terpilih sebagai calon pada PRU15 kelak.
"Kalau PRU lalu kesemua kerusi kita bertanding namun kali ini akan ada kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang UMNO tidak akan bertanding melalui konsep pengagihan kerusi bersama PAS.
"Apa yang saya jumpa ialah semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian telah menyatakan komitmen akan akur perkara itu, sebaliknya akan membantu calon PAS untuk memenangi kerusi di tempat mereka pada PRU15 nanti," katanya kepada pemberita selepas Program Merdeka Fun Ride 2020 di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di Machang, hari ini.
Seramai 250 peserta menyertai kayuhan sejauh 25 kilometer bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata keadaan sekarang juga berbeza berbanding dahulu apabila tidak ada pemimpin UMNO Kelantan yang datang merayu untuk menjadi calon.
Muafakat Nasional merupakan kerjasama di antara UMNO dan PAS yang kini turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai