Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dr Iskandar Samad dilantik sebagai CEO baru Mimos

MIMOS, pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional, telah melantik Dr Iskandar Samad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi MIMOS Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata pelantikan Iskandar bakal menambah kepelbagaian dalam perspektif, pengetahuan dan daya kreativiti kepada Lembaga Pengarah MIMOS.

“Kami menyambut baik pelantikan Iskandar dan yakin dengan kewibawaan dan kecekapannya, beliau mampu menerajui MIMOS ke arah yang lebih cemerlang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Disifatkan sebagai seorang yang mempunyai minat mendalam dalam menyumbang kepada agenda pembangunan sains dan teknologi di Malaysia, pelantikan Iskandar dijangka mampu memperkukuh peranan agensi ini dalam memacu pembangunan industri.

Ini meliputi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) termaju, usaha sama dan inkubasi teknologi serta pembinaan kapasiti dan keupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), semikonduktor dan mikroelektronik.

Iskandar turut mempunyai pengalaman daripada pelbagai industri termasuk telekomunikasi, media digital dan perkhidmatan kewangan.

Beliau telah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuklah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jewel Digital Ventures Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad; Tribe (Hong Kong) Ltd, anak syarikat milik Astro dan Naib Presiden Bahagian Projek Khas Axiata Bhd.

- Bernama