Muhyiddin tetap kawan baik saya - Shafie Apdal
Meskipun berbeza pandangan politik dan tidak berada dalam kepimpinan kerajaan yang sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tetap menganggap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sahabat baik dan rakan lama yang tidak akan dilupakan.
Mengimbau saat jatuh bangun dalam arena politik, terutama sekali sewaktu era gelap mereka dalam Umno pada 2016, Mohd Shafie berkata apa yang pasti ketika ini ialah beliau konsisten dengan matlamat asalnya untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Umno.
“Saya tetap jadi sahabat dia, saya tetap berkawan dengan dia, dia adalah rakan lama saya,” katanya sambil tersenyum, semasa temu bual eksklusif dengan Bernama di kediamannya di Semporna, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin sebelum ini yang menyatakan kesedihannya kerana Mohd Shafie yang disifatkannya sebagai sahabat baik, tidak bersamanya dalam memimpin kerajaan.
Pada 24 Jun 2016, Umno menggantung keahlian Mohd Shafie, selain memecat Timbalan Presiden Umno ketika itu, Muhyiddin dan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Mohd Shafie kemudiannya mengumumkan keluar Umno selepas 10 hari penggantungan keahliannya.
Mohd Shafie, yang juga Presiden Warisan berkata agak janggal bagi beliau dan partinya bekerjasama dengan parti yang telah ditolak oleh rakyat.
“Jadi bila rakyat menolak, takkan kita nak bekerjasama dengan parti yang ditolak oleh rakyat, akhirnya kalau kita bekerjasama dengan parti yang ditolak oleh rakyat maka kita akan ditolak oleh rakyat,” kata Mohd Shafie, yang mengetuai Warisan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16.
Berhubung pandangan bahawa Sabah tidak akan membangun sekiranya kerajaan negeri tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan, Mohd Shafie berkata tanggapan itu tidak benar sama sekali, mengambil contoh pentadbiran parti tempatan terdahulu seperti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan ditadbir BN.
Beliau berkata pada waktu itu pun kedudukan sebahagian besar daerah-daerah di negeri ini jauh terkebelakang dari sudut infrastrukturnya sama ada dari segi kesihatan mahu pun pendidikan.
“Jangan cerita dari sudut keselamatan persisiran pantai timur yang ada, kita katakan kawasan inilah di Malaysia yang selalu tergugat tentang kedaulatan, keselamatan, rompakan, penculikan yang jauh banyak jumlahnya dalam setahun berbanding kawasan lain di negara ini,” katanya.
Sebaliknya, Mohd Shafie berpandangan sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi konsep kerajaan dengan kerajaan (G2G), namun bukan kerjasama dalam gelanggang politik.
“Kalau tidak, susah nak menegur, mengkritik dan bersuara pasal (kerana) tekanannya kita di bawah naungan satu gelanggang politik yang kemungkinan kebimbangan apabila sampai pilihan raya, kerusi tak dibagi, calon tak dibagi.
“Dan ini yang berlaku pada saat ini, kalau sekiranya kita hanya bentuk kerjasama (G2G), tidak ada ikatan, pakatan, maka ada sedikit sebanyak kebebasan dari segi kita melontarkan suara rakyat di akar umbi,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa tidak semestinya kerajaan negeri perlu bergantung kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah ‘selamat’, memandangkan sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu tersendiri bahawa adalah menjadi tanggungawab Kerajaan Persekutuan untuk menjaga keselamatan Sabah.
“Kerajaan Persekutuan mengambil cukai dari Sabah dan Sarawak dan sebahagian besar tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pulangkan balik dalam pelbagai bentuk sama ada membina sekolah, menjaga keselamatan, kesihatan dan itu tanggungjawab termaktub dalam perlembagaan.
“Kalau sekiranya mereka tidak lakukan itu, kita boleh heret mereka ke mahkamah,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai