Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

UKM teliti punca penagihan dadah meningkat di Kelantan

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalankan kajian bagi mengenal pasti punca penagihan dadah di negeri Kelantan dilihat semakin membimbangkan.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, kajian tersebut dijangka bakal mengambil masa selama tiga tahun.

Katanya, kajian berkenaan membabitkan tujuh peringkat bagi mengenal pasti punca sebenar kes dadah di Kelantan semakin meningkat.

"Ini kerana kita dapati masalah dadah ini bukan dari Kelantan, macam ketum pun, banyak dari Kedah.

"Kajian ini penting bagi mendapatkan input bagaimana kes dadah di Kelantan meningkat dan atas faktor apa sedangkan kita bukan pengeluar.

"Kalau ketum pun datang dari Kedah dan bekalan dadah lain pula dari negara jiran. Kelantan bukan negeri pengeluar. Kita pelu buat kajian memandangkan 90 peratus rakyat di Kelantan adalah Melayu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah di Kota Bharu hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Antitidadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah.

Sementara itu Ahmad menggesa masyarakat agar tidak meminggirkan bekas penagih mahupun individu yang sedang menjalani rawatan bagi mengatasi ketagihan.

Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk membantu mereka yang terjebak dengan dadah agar mereka terus istqamah dengan perubahan yang dilakukan.

"Kita melihat seharusnya masyarakat menerima semula penagih yang pulih sebab mereka mempunyai masalah dari segi psikologi. Jadi kita mesti memahami mereka sepertimana orang lain," katanya.