Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pencemaran Sg Gong: Polis tunggu keputusan AG siasat bawah Sosma

Pihak polis telah menyerahkan kertas cadangan bagi siasatan kes pencemaran Sungai Gong di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada peguam negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas cadangan itu turut melibatkan keseluruhan jenayah membabitkan alam sekitar dan bukan hanya memfokuskan pencemaran di Sungai Gong yang tular baru-baru ini.

“Kita dah serahkan kertas cadangan itu kepada peguam negara dan sedang tunggu keputusan sama ada boleh ambil tindakan di bawah Sosma.

“Ini keseluruhan semua jenayah membabitkan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media penubuhan unit petugas khas cegah jenayah alam sekitar di ibu pejabat kementerian air dan alam sekitar (Kasa) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir menteri Kasa Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mior berkata buat masa ini, kes pencemaran di Sungai Gong disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan kes pencemaran di Sungai Gong sebagai jenayah terancang jika elemen sabotaj berjaya dikesan.

Ini menurutnya akan membolehkan kes itu disiasat di bawah Sosma yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga tempoh maksimum 28 hari.

Mengulas berkenaan pemilihan anggota unit petugas khas cegah jenayah alam sekitar, Mior berkata ia akan ditentukan kemudian.

“Kriteria anggota akan ditentukan kemudian, berapa ramai tidak dapat tentukan.

“Contohnya kejadian Sungai Gong kita gunakan unit forensik,” katanya lagi.

Baru-baru ini sebanyak 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air.

Ia selepas berlaku pencemaran di Sungai Gong yang berpunca  daripada sebuah premis perindustrian.

Kerajaan negeri mengarahkan kilang berkenaan ditutup dan dirobohkan setelah mendapati ia beroperasi tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Selayang.

Pada 9 Sept lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan gangguan di tujuh wilayah akibat penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pulih sepenuhnya.