Firma China ada kaitan tentera simpan profil 1,400 rakyat Malaysia - Laporan
Sebuah firma China yang mempunyai hubungan dengan tentera dan rangkaian perisikan di China telah mengumpulkan maklumat profil 1,400 rakyat Malaysia, menurut laporan ABC News yang berpusat di Australia.
Seramai 1,400 rakyat Malaysia berkenaan adalah antara 250,000 orang yang maklumat mereka diperoleh daripada pangkalan data Zhenhua Data yang bocor, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.
Laporan itu tidak menjelaskan secara terperinci maklumat yang dikumpulkan terhadap 1,400 rakyat Malaysia berkenaan.
Bagaimanapun berdasarkan data seramai 35,558 rakyat Australia yang dibocorkan, mereka merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.
Selain warga Australia dan rakyat Malaysia, data tersebut juga merangkumi profil 52,000 rakyat Amerika, 10,000 rakyat India, 8,700 rakyat Britain, 5,000 rakyat Kanada, 2,100 rakyat Indonesia dan 138 dari Papua New Guinea.
Laporan itu juga meneliti data melibatkan rakyat Amerika, yang antara lain terdiri daripada profil anggota tentera.
"Pangkalan data mengesan prospek pegawai dan jaringan politik.
"Sebagai contoh, kemajuan karier seorang anggota angkatan laut AS dipantau secara ketat dan dia ditandai sebagai komandan masa depan bagi kapal induk nuklear," kata laporan itu.
Laporan itu juga menyebut bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China dan Parti Komunis China antara pelanggan utama Zhenhua Data.
Data Zhenhua dilaporkan mempunyai 20 pusat pengumpulan data di seluruh dunia.
Laporan itu mengatakan selain maklumat disusun dari sumber terbuka, beberapa profil merangkumi maklumat yang dipercayai berasal dari rekod bank sulit, aplikasi pekerjaan dan profil psikologi.
Laporan itu mengatakan data tersebut dibocorkan kepada ahli akademik AS, Chris Balding yang pernah bekerja di Universiti Peking di China sehingga tahun 2018. Sejak itu dia meninggalkan negara itu.
Balding kemudian menyerahkan pangkalan data 2.4 juta orang itu kepada syarikat keselamatan siber Internet 2.0 yang berpangkalan di Australia yang berjaya memperoleh 10 peratus data terbabit.
Balding mengatakan data tersebut menunjukkan bahawa China telah melakukan pengawasan secara besar-besaran terhadap rakyat di seluruh dunia.
Laporan itu juga memetik Clive Hamilton, seorang profesor etika awam dengan Universiti Charles Sturt yang menjelaskan bagaimana pautan yang ada dalam profil itu digunakan.
"Sekiranya anda ialah anak perempuan seorang ahli politik berusia 14 tahun, maka kami sekarang tahu bahawa perkhidmatan perisikan China memantau komen media sosial anda, dan merekodkan maklumat yang menarik atau mungkin menarik di masa depan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai