Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Misi LDP menentang 2 gabungan besar

PRN SABAH | Selepas PRU 2008, keadaan tampak parah buat BN Sabah apabila parti-parti komponennya keluar dari gabungan itu, seolah-olah meninggalkan kapal yang sedang karam.

Bagaimanapun pada PRN kali ini, kebanyakan parti komponen BN Sabah kembali bersama-sama meskipun dengan gabungan longgar dinamakan "Gabungan Rakyat Sabah". Ia merangkumi BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kembali ke pangkuan BN setelah ditolak Warisan Plus, PBS walaupun tidak berbuat demikian tetapi menjadi sekutu gabungan, dan malah SAPP yang keluar BN pada 2008 kembali bersama-sama menerusi PN.

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) bagaimanapun kini bersama Warisan Plus.

Hanya Parti Liberal Demokratik (LDP) yang mengambil langkah berbeza. Selepas keluar BN pada 2018, ia kini tidak menjalin kerjasama dengan dua gabungan utama - Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan Plus.

LDP akan bertanding di 46 daripada 73 kerusi dalam PRN kali ini, menggunakan logo parti - obor jingga - buat kali pertama dalam 30 tahun.

Cita-citanya besar jika mengambil kira peranannya yang boleh dianggap kecil ketika di dalam BN.

Pada PRU 2018, LDP bertanding di empat DUN majoriti Cina iaitu Likas, Tanjong Kapor, Merotai dan Karamunting. Parti itu kalah di semua kerusi tersebut.

Berhasrat menjadi kuasa ketiga yang bebas, parti majoriti Cina itu juga cuba melebarkan sayap di kawasan bukan majoriti Cina.

Menurut Pengarah Pilihanraya LDP Chin Shu Ying, daripada 46 DUN, 12 adalah kawasan majoriti Cina dan campuran, 13 kawasan bumiputera-Islam, dan 21 kawasan Kadazandusun-Murut (KDM).

Hanya tiga calon LDP yang pernah bertanding sebelum ini, termasuk presiden kehormat seumur hidup, Chong Kah Kiat.

Chong Kah Kiat

LDP menyertai BN pada 1991 dan sepuluh tahun kemudian, Chong menjadi ketua menteri selama dua tahun berdasarkan sistem penggiliran yang diamalkan BN.

Sistem itu dimansuhkan apabila Musa Aman menjadi ketua menteri pada 2003 dan Chong sebagai timbalannya.

Bagaimanapun dia berselisih dengan Musa dan letak jawatan pada 2007.

Chong yang bertanggungjawab dalam soal pelancongan bertembung dengan Musa apabila kerajaan negeri membatalkan kelulusan kepada Yayasan Amal Thean Hou Kudat untuk membina tugu "Goddess of the Sea" berketinggian 108 kaki.


Baca: PRN Sabah 2020: Rakyat jadi penentu


Chong merupakan pengerusi yayasan pada masa itu. Isu itu membawa kepada kes mahkamah antaranya dengan Musa.

Sejak itu, dia tidak lagi begitu aktif dalam politik.

Bagaimanapun, ahli politik berusia 72 tahun itu membuat kemunculan semula, antaranya kerana Liew Vui Keong - yang menggantikannya sebagai presiden pada 2006 - keluar parti untuk menyertai Warisan pada 2018.

Dia akan bertanding di DUN Inanam.

Penyandang kerusi itu adalah Kenny Chua Tech Ho, yang keluar PKR untuk menyokong usaha Musa dalam menjatuhkan pentadbiran Warisan pada Julai lalu.

Inanam menyaksikan pertembungan sepuluh penjuru. Kali ini, Chua akan bertanding sebagai calon bebas.

Bercakap dengan pemberita di ibu pejabat LDP di Kota Kinabalu semalam, Chong menyuarakan keyakinan terhadap peluang kemenangannya.

"Maklum balas orang ramai terhadap LDP amat baik," katanya sambil menambah penduduk Sabah sudah bosan dengan keadaan politik semasa di negeri itu.

Sementara itu, Presiden LDP Chin Su Phing, yang akan bertanding di DUN Api-api berkata ini merupakan kali pertamanya menyertai pilihan raya.

Dia berdepan tugas besar - mengalahkan penyandangnya yang juga Pengerusi PKR Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri. Christina Liew.

"Bukan orang Cina saja, golongan bumiputera Islam dan bukan Islam juga mengharapkan perubahan dalam PRN ini," katanya.

Dia mempertaruhkan kedudukan LDP selaku parti tempatan berbanding dua gabungan utama yang melibatkan parti peringkat nasional.

Sememangnya LDP telah membawa naratif itu dalam kempennya, dengan risalah yang memaparkan karikatur Shafie Apdal dan sekutunya.

Risalah itu memaparkan Shafie yang mempromosikan agenda Sabah tetapi diapit rakan dari PKR dan DAP yang merasakan perlu mendapatkan pandangan pemimpin di peringkat nasional.

Kata Chin lagi, parti-parti tempatan boleh menjadi faktor penentu, dengan membangkitkan bagaimana parti dari Semenanjung perlu mendapatkan sokongan Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Perhatian kini terhadap Muhyiddin dan Shafie tetapi LDP berharap dapat mengubah naratif tersebut.

Pengundi Sabah akan membuat pilihan mereka pada 26 September ini, sama ada LDP akan muncul sebagai pemenang atau 'ditelan' dua gabungan besar.

[Baca berita asal]