Bahrain setuju pulihkan hubungan diplomatik dengan Israel
Bahrain pada Jumaat mengumumkan sudah mencapai kata sepakat untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).
Perjanjian itu dimuktamadkan semasa perbualan telefon antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa, menurut kenyataan bersama Amerika Syarikat (AS)-Bahrain-Israel yang dimuat naik dalam akaun Twitter Presiden Donald Trump.
Trump mengundang Bahrain untuk turut serta dalam majlis menandatangani perjanjian yang akan diadakan di Rumah Putih antara Emiriah Arab Bersatu dan Israel pada 15 September.
Menurut kenyataan itu, "Bahrain menerima pelawaan Trump untuk datang ke Rumah Putih, lokasi Netanyahu dan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif Al Zayani bakal menandatangani deklarasi perdamaian."
Dalam kenyataan rasmi pertama, penasihat Raja Bahrain, Khalid bin Ahmed, berkata di Twitter perjanjian itu "demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau berkenaan."
Perjanjian itu menyusul selepas UAE dan Israel turut memeterai perjanjian pada 13 Ogos lalu, yang mendapat kecaman meluas oleh rakyat serta kerajaan Palestin, menganggapnya sebagai "pengkhianatan".
Bahrain bakal muncul negara Arab keempat yang menandatangani atau bersetuju untuk memeterai perjanjian pemulihan hubungan dengan Israel, selepas Mesir (1979), Jordan (1994) dan UAE (2020).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai