Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Penamaan calon tamat, kempen 'merebut' Sabah bermula

LANGSUNG | Malaysiakini membawakan anda laporan langsung dari lapangan.

[Kemas kini lanjut menyusul]


Sorotan utama:

12.40 tengah hari: Adik Yang di-Pertua Negeri, Armani Mahiruddin bertanding di kubu kuat Musa Aman.

12.35 tengah hari: DAP memecat ahli yang bertanding di bawah tiket LDP di Bingkor.

12.20 tengah hari: Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor dicabar anak saudaranya Aliasgar Basri dan saudara jauh, Rekan Hussien di kubu kuatnya.

12.20 tengah hari: Dua bekas menteri, Salleh Said Keruak dan Anifah Aman sah bertanding.

11.55 pagi: Shafie Apdal dicabar empat calon di Senallang 

11.50: Ketua PKR Sabah berdepan saingan 9 penjuru

11.20 pagi: Ketua Bersatu Sabah dicabar dua ahli keluarga

10.00 pagi: Musa Aman tidak kelihatan

9.45 pagi: 'Media tak rasmi' tak dibenarkan masuk pusat penamaan calon

9.30 pagi: Bekas wakil rakyat PKR tanding bebas

9.10 pagi: Pertembungan 8 penjuru dijangka di Tanjung Aru

8.52 pagi: Muhyiddin: Semua sekutu setuju digelar Gabungan Rakyat Sabah

8.35 pagi: Polis nasihati penyokong patuh SOP Covid-19

8.00 pagi: Penyokong dan calon mula tiba


2.00 petang - Liputan secara langsung penamaan calon PRN Sabah oleh Malaysiakini berakhir setakat ini.

Dengan bermulanya kempen, kami komited untuk membawa berita terkini berkenaan pilihan raya negeri ini.

Anda boleh menyokong Malaysiakini dengan menjadi pelanggan di sini.

Para wartawan kami di lapangan akan membawakan kemas kini terbaru serta analisis sepanjang kempen. Ikutinya di sini.


12.40 tengah hari - Dewan Serbaguna Libaran, Libaran - Calon Warisan di N52 Sungai Sibuga, Armani Mahiruddin sedia untuk 'bertarung' di kubu kuat bekas ketua menteri Musa Aman, yang memegang kerusi DUN itu sejak 1994.

Armani, 54, akan mempertaruhkan pengalamannya sebagai bekas ketua Wanita Umno Sabah, ahli dan pemimpin Wanita Umno Sungai Sibuga selama 22 tahun serta kedudukannya sebagai wanita pertama yang menjadi timbalan speaker Dewan Negara.

"Walaupun Sungai Sibuga dipegang bekas ketua menteri kita, masih banyak perubahan yang boleh dilakukan, terutama pembangunan di sana," katanya kepada pemberita.

"Saya sedia (untuk dibandingkan dengan Musa) dan jika diberi peluang dan menang, saya akan lakukan perubahan.

"Kita dapat lihat pengaruhnya sebagai bekas pemimpin sudah berlalu. Tapi kita masih menghormatinya," katanya lagi.

Armani juga adik kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiaddin.

Dia menyertai Warisan bersama-sama 200 anggota Umno Sandakan pada Mei 2019, beberapa minggu selepas Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.


12.35 tengah hari - Jawatankuasa Disiplin DAP memecat Julius Favianus selepas dia mengumumkan bertanding di DUN Bingkor.

Julius akan melawan calon DAP sendiri, iaitu Odom @ Peter Dhoms Saili @ Soili.

"Parti dan gabungan, Warisan Plus, memutuskan agar Bingkor ditandingi calon DAP dengan menggunakan lambang Warisan.

"Mana-mana ahli parti yang menjadi calon bertentangan dengan persetujuan yang dicapai rakan gabungan Warisan Plus bertindak ingkar dan tidak berdisiplin.

"Ia juga satu pengkhianatan kepada kehendak rakyat yang mahu mengekalkan kerajaan Warisan Plus," kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen dalam kenyataan.

Penyandang DUN Bingkor adalah Robert Tawik @ Nordin dari Star, yang akan mempertahankan kerusinya dalam PRN ini.


12.20 tengah hari - Dewan Seri Sulaman, Tuaran - Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor bakal berdepan dua saudaranya di DUN Sulaman, yang dimenanginya dengan majoriti 7,774 undi pada PRU lalu.

Pesaingnya ialah Rekan Hussien (PCS) dan Aliasgar Basri (Warisan).

Aliasgar memberitahu media bahawa Hajiji adalah bapa saudara di sebelah ibunya, manakala Rekan adalah saudara jauh.

"Dia bapa saudara (saya) tetapi politik berbeza," katanya selepas penamaan calon.

Dia membangkitkan peristiwa ketika Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan) menewaskan bapa saudaranya Salleh Said Keruak di Parlimen Kota Belud pada PRU lalu.

Ditanya berkenaan peluang kemenangannya, memandangkan Muhyiddin Yassin mencadangkan Hajiji sebagai ketua menteri jika menang PRN kali ini, dia berkata Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin juga barangkali menyasarkan jawatan itu.

"Mereka tidak bersatu. Warisan hanya ada seorang calon ketua menteri," katanya lagi.

Rekan pula percaya PCS adalah pilihan yang lebih baik buat penduduk Sabah kerana parti itu memperjuang pembangunan sama rata buat semua etnik di negeri itu.

Sementara itu, Hajiji berharap dia akan mengekalkan kemenangannya agar dapat terus membawa pembangunan kepada penduduk di situ.


12.20 tengah hari - SPR mengesahkan bekas menteri Salleh Said Keruak sah bertanding di Usukan.

Dia bertanding dengan tiket BN dan akan berdepan Abdul Bahkrin Mohd Yusof (Warisan) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tiga Belas (Parti Cinta Sabah).

Kerusi DUN itu memang dimenangi Umno sebelum ini.

Pada masa sama, pesaing Salleh iaitu Abdul Rahman Dahlan, yang membantah pemilihan Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin untuk mengetuai BN dalam PRN kali ini, tidak dicalonkan.

Selain itu, seorang lagi bekas menteri, Anifah Aman disahkan bertanding di Bongawan.

Bagaimanapun dia bukan sebahagian gabungan utama, sebaliknya bertanding dengan tiket PCS yang diketuainya selepas keluar Umno.

Anifah akan berdepan HJ AG Syairin (BN), Daud Yusof (Warisan) yang juga penyandang di situ, dan Mohd Azree Abd Ghani (LDP).


11.55 pagi - Dewan Masyarakat Semporna, Semporna - Kerusi N65 Senallang yang menjadi gelanggang ketua menteri sementara Sabah Shafie Apdal menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Shafie yang menang dengan majoriti 5,301 undi pada PRU lalu akan dicabar calon Bersatu Norazaman Utoh Naim yang juga anak buahnya, Madjalis Lis (PCS), Datu Pengiran Ahmad Datu Ali Alam (PPRS) dan Mohd Ramzan Abdul Wahab (Usno).

Dua lagi kerusi DUN dalam Parlimen semporna, iaitu N64 Sulabayan menyaksikan calon paling sedikit - tiga orang - manakala N66 Bugaya dengan calon paling ramai - tujuh orang.

Sulabayan menjadi gelangang Dr Jaujan Sambakong (Warisan), Abdul Manan Indanan (BN) dan Alahuddin Mohd Sarah (PCS).

Bugaya pula menjadi medan berentap untuk Manis Buka Mohd Darah (Warisan), Daud Tampakong (Bersatu), Jihek Basanu (PCS), Ahmad Kenajaan (Usno) dan Taraji Jamdi (PPRS).

Selain itu, persaingan di DUN itu juga disertai dua calon bebas, iaitu Abdul Jan bin Muammin @ Abdul Jim dan Rasidan Abd Latiff.

Nama mereka diumumkan oleh pegawai pengurus secara berasingan untuk setiap DUN.


11.50 pagi - Wisma Wanita, Kota Kinabalu - DUN Api-api secara rasmi akan menyaksikan pertarungan sembilan penjuru.

Pegawai pengurus SPR mengumumkan bahawa tidak ada borang pencalonan yang ditolak.

Urutan nombor undi bagi calon Api-api adalah seperti berikut:

1. PPRS - Lo Yau Foh
2. PGRS - Chong Tze Kiun
3. Bebas - Marcel Jude
4. LDP - Chin Su Phing
5. PCS - Pang Yuk Min
6. PBS - Yee Moh Chai
7. Bebas - Ng Chun Sua
8. PKR - Christina Liew Chin Jin
9. Bebas - Sim Sie Hong

Penyandang DUN itu, Christina Liew yang juga Ketua PKR Sabah mengatakan dia terkejut kerana begitu banyak orang bertanding di kerusi yang sama.

"Terkejut, sangat terkejut. Ini menunjukkan kepada orang-orang yang sangat ingin menjadi Yang Berhormat sekarang," katanya sambil tertawa.

Di luar pusat penamaan calon, pemimpin PKR termasuk Wan Azizah Wan Ismail, Sim Tze Tzin, Noor Amin Ahmad dan sekumpulan 20 penyokong, menunggu di bawah terik matahari dan melaungkan "Reformasi" ketika mereka menunggu Liew.

"Saya datang ke sini untuk memberi sokongan kepada Christina Liew dan saya harap semua orang menjaga kesihatan mereka dan menjaga jarak sosial ketika berkempen," kata penasihat PKR itu.

Walaupun bertanding sembilan penjuru, Wan Azizah mengatakan parti itu telah menghadapi banyak pertarungan pelbagai peringkat sebelumnya dan dia berharap yang terbaik untuk calonnya.

"Yang paling penting, kami mahu calon kami menang," tambahnya.


11.20 pagi: Dewan Seri Sulaman, Tuaran - Saingan di DUN Sulaman bakal menyaksikan penyandang tujuh penggalnya, Hajiji Mohd Noor dicabar oleh dua ahli keluarganya.

Dua pesaing lain adalah Rekan Hussien dari PCS dan Aliasgar Basri dari Warisan.

Ketiga-tiganya diterima sebagai calon Sulaman.

Bercakap dengan media, Aliasgar mengatakan bahawa Hajiji adalah bapa saudaranya dari sebelah ibu (pakcik sepupu) sementara Rekan juga merupakan saudara jauh mereka.

"Dia adalah pakcik saya tetapi fahaman politik berbeza," katanya kepada media selepas proses penamaan calon.

Dia menyorot bagaimanana calon Warisan Isnaraissah Munirah Majilis mengalahkan bapa saudaranya Salleh Said Keruak di kerusi Parlimen kota Belud pada pilihan raya 2018.

Hajiji Mohd Noor

Ketika ditanya mengenai peluangnya ketika Hajiji diusulkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ketua menteri berikutnya, dia mengatakan mungkin Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin juga menginginkan jawatan itu.

"Mereka tidak bersatu. Di Warisan, kita hanya mempunyai satu calon ketua menteri," katanya.

Sementara itu, Hajiji berharap dia dapat menang di Sulaman untuk membantu rakyat dan membawa pembangunan untuk penduduk tempatan.

"Kami, dalam PN dan BN memberi jaminan bahawa kami akan terus melindungi orang-orang di Sabah," katanya, yang sebelum ini juga menang kerusi itu atas tiket BN sebelum menyertai Bersatu.

Rekan Hussein


11.00 pagi: Dewan Serbaguna Libaran, Libaran - Pegawai pengurus SPR untuk N50 Gum Gum, N51 Sungai Manila dan N52 Sungai Sibuga mengumumkan calon yang bertanding di kawasan masing-masing.

Pertandingan enam penjuru akan berlaku di Gum Gum dan Sungai Manila, sementara pertandingan lima penjuru bakal disaksikan di Sungai Sibuga.

BN, Warisan, Parti Cinta Sabah, LDP dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah meletakkan calon mereka di ketiga-tiga kerusi tersebut.Pesaing keenam di Gum-Gum adalah calon bebas Yunus Nordin, sementara kakitangan awam yang bersara K Zulkipli @ K Zulkipli Harrith bertanding di Sungai Manila untuk Usno.

Zulkipli sebelumnya mengatakan kepada wartawan bahawa ia bertujuan untuk menghidupkan kembali Usno, salah satu parti politik tertua di Sabah, yang kini dipimpin oleh bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.


10.45 pagi: Dewan Jabatan Kerja Raya Sembulan, Kota Kinabalu - Tanjung Aru secara rasmi akan menyaksikan pertembungan lapan penjuru.

Pegawai pengurus SPR mengumumkan lapan calon serta urutan nombor undi mereka.

Calon serta nombor undi adalah seperti berikut:

1. Yong Oui Fah - PBS
2. Jan Chow - Bebas
3. Ibrahim Mohd Laiman Diki - LDP
4. Shafik Risaib Shah - Usno
5. Noran Addy Sukiran - PCS
6. Rizawani Fiona Heng - PGRS
7. Junz Wong - Warisan
8. Mohd Reduan Aklee - BN

Wong dilihat menyapa sekumpulan kecil kira-kira 15 penyokongnya sebelum meninggalkan pusat penamaan calon.

Sementara itu, terdapat kira-kira 20 penyokong BN yang dilihat berbual dengan Mohd Reduan. Dia juga mengambil beberapa gambar bersama mereka sebelum beredar.

Calon PBS, Yong juga menyapa penyokong BN yang menyambutnya dengan mesra.

Yong dan Reduan adalah lawan di kerusi ini walaupun kedua-dua parti itu merupakan sekutu.


10.50 pagi - Selepas tidak kelihatan di pusat penamaan calon hari ini, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman berkongsi laporan berita berhubung penolakan pemimpin Umno tempatan terhadap calon Sungai Manila.

Dalam kiriman di Instagram, Musa berkongsi artikel Malaysiakini mengenai pemimpin Umno cawangan di bahagian Libaran yang mengkritik keputusan parti itu untuk tidak meletakkan Musa di Sungai Manila.

Kiriman itu dibuat dalam tempoh penamaan yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir pada pukul 10 pagi tadi.

Pegawai SPR kini sedang memuktamadkan senarai calin yang bertanding. Calon-calon itu akan diumumkan selepas cabut nombor undi.

 


10.00 pagi: Dewan Serbaguna Libaran, Libaran - Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, yang juga merupakan individu utama di sebalik gerakan rampasan kuasa kerajaan negeri yang membawa kepada PRN, tidak kelihatan.

Ini meskipun sebelum ini ada spekulasi awal bahawa dia akan bertanding sebagai calon bebas di N51 Sungai Manila selepas tidak tersenarai bertanding di mana-mana kerusi.

Ketika pencalonan ditutup untuk PRN Sabah, Musa tidak muncul di dewan untuk mengajukan pencalonannya, seperti yang dijangka.

Petugas media yang menunggu ketibaannya mengatakan bahawa Musa dapat memerhatikan perjalanan penamaan calon dari kediamannya, yang terletak hanya beberapa ratus meter dari dewan.

Hanya pagar hijau dan pokok besar yang memisahkan perkarangan rumah Musa yang luas dan jalan di sebelah pusat penamaan calon.

Bekas Adun Sungai Sibuga itu mencetuskan spekulasi selepas dia memuat naik ciapan di Twitter awal minggu ini yang berbunyi: "Saya akan kembali ke Sungai Manila".

Musa setakat ini masih menjadi ahli Umno walaupun kesetiaannya tidak jelas setelah berlaku perselisihan dengan ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.


9.55 pagi - Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang - Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog, Jenifer Lasimbang yang digugurkan oleh Warisan sebagai calon hadir memberikan sokongan kepada penggantinya.

Malah, dia bertindak sebagai pencadang kepada calon penggantinya - Timbalan Presiden Warisan, Darrell Leiking.

Penyokong Darrell adalah Terence Siambun, yang juga bekas Adun Moyog.

Jeniffer berkhidmat sebagai Adun Moyog dari 2018 hingga 2020 dengan tiket Warisan sementara Terence berkhidmat sebagai Adun Moyog dari 2013 hingga 2018 dengan tiket PKR.


9.45 pagi: Suruhanjaya Pilihan Raya melarang 'media tak rasmi' masuk semua pusat penamaan calon di Sabah.

Dalam catatan kepada media, SPR mengatakan bahawa ia adalah langkah pencegahan Covid-19.

"Media selain media rasmi kerajaan (RTM, Bernama, Jabatan Penerangan dan Finas) tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon untuk semua 73 kerusi DUN hari ini.

"Pertimbangan dan kerjasama media sangat dihargai," katanya.


9.30 pagi - Dewan Masyarakat Manggatal - Kenny Chua, calon dan juga penyandang DUN Inanam tiba.

Dia sebelum ini meninggalkan PKR untuk menyokong rampasan kuasa menentang kerajaan negeri yang dipimpin Warisan.

Chua, yang tidak diturunkan oleh PN, BN atau PBS walaupun menyokong rampasan kuasa itu, akan bertanding semula kerusi itu sebagai calon bebas.

Chua mengatakan pada mulanya dia seharusnya bertanding di bawah PBS tetapi rancangannya itu tidak menjadi kenyataan.

Rampasan kuasa itu didalangi oleh ketua ketua menteri Sabah Musa Aman tetapi digagalkan setelah Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal memperoleh perkenan Yang Dipertua Negeri untuk pembubaran dewan undangan negeri, dan seterusnya membuka jalan untuk PRN.


9.26 pagi: Dewan Masyarakat Semporna, Semporna - Hujan turun di Pekan Semporna yang membuatkan beberapa penyokong yang berada di jalan dilihat beredar mencari tempat berteduh.

Calon-calon kini di dalam dewan untuk melakukan proses penamaan calon.

Shafie Apdal yang merupakan calon Warisan untuk N65 Senallang, Dr Jaujan Sambakong untuk N64 Sulabayan, dan Manis Buka Mohd Darah untuk N66 Bugaya tiba kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sebelum itu, seorang calon bebas dilihat tergesa-gesa memasuki pusat penamaan calon, sebelum dituruti seorang lagi calon bebas yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Pengiran Rahmat dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Di dalam dewan, proses penamaan masih berlangsung.


9.15 pagi: Dewan Serbaguna Libaran, Libaran - Ketua polis daerah Sandakan, Mohd Azhar Yakin memerintahkan sekumpulan kecil sekitar 20 penyokong pelbagai calon di N50 Gum Gum, N51 Sg Manila dan N52 Sungai Sibuga untuk beredar dari tempat berkumpul mereka di seberang pusat penamaan calon.

"Kami hanya bimbang, sekiranya Tawau sudah menjadi zon merah," katanya.

Azhar juga mengingatkan petugas media untuk memerhatikan jarak sosial dan memakai pelitup muka selain mengulangi bahawa hanya mereka yang mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya yang boleh berada di kawasan itu.

Lebih ramai calon tiba di dewan, termasuk dari BN dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah.


9.10 pagi: Dewan Jabatan Kerja Raya Sembulan, Kota Kinabalu - Calon Warisan Junz Wong serta calon Umno Mohd Reduan Aklee tiba di sini.

Ini bermakna bahawa kerusi Tanjung Aru akan menyaksikan pertarungan sekurang-kurangnya lapan penjuru.

Ini termasuk pertembungan antara Umno dan PBS, yang merupakan sekutu PN dan BN.

Sekitar 11 kerusi lain dijangka akan berlaku pertembungan antara PN, BN atau PBS.


9.00 pagi: Jalan Causeway Semporna - Beberapa ratus meter dari Dewan Masyarakat Semporna, kira-kira 300 orang berkumpul di bulatan jalan membawa panji-panji Warisan.

Mereka bersorak "Warisan" dan "takbir".

Mereka rata-ratanya memakai baju Warisan yang tertulis "Tetap teguh bersama DSSA" dipercayai merujuk presiden Warisan Shafie Apdal.

"Anak-anak. Jangan pegang bendera. Ini nasihat daripada presiden kita," kata seorang daripada mereka, namun himpunan terus berhimpun dan bersorak.

Shafie bagaimanapun tidak kelihatan.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, himpunan itu bersurai selepas beberapa pegawai polis menghampiri lokasi.

Polis turut menjaga lalu lintas di jalan yang sedikit terganggu akibat perhimpunan tersebut.


8.52 pagi: Bandar Tuaran - Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiba di sini untuk menunjukkan sokongan kepada ketua Bersatu Sabah, Hajiji Noor, yang bertanding di kerusi DUN Sulaman.

Bercakap kepada lebih 500 hadirin, Muhyiddin mengatakan tujuan semua parti berkumpul dan bertanding di 73 kerusi tidak lain adalah menggantikan Warisan Plus sebagai kerajaan negeri.

Dia mengatakan semua sekutu mereka yang mempunyai tujuan yang sama, sepakat dalam pertemuan semalam, untuk menamakan pakatan mereka sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

"Semalam, kita bertemu semua pihak dan mereka sepakat untuk berjuang, kita bangunkan dan lindungi (rakyat Sabah).

"Saya ingin mengumumkan bahawa keputusan telah diambil dalam satu mesyuarat penting, iaitu untuk menamakan pihak-pihak yang ada bersama perjuangan sebagai Gabungan Rakyat Sabah," katanya.

Gabungan baru itu terdiri daripada Perikatan Nasional, BN dan PBS, katanya.

Dia mengingatkan semua pihak untuk mengetepikan perbezaan mereka dan memenangi pilihan raya negeri agar mereka dapat membawa pembangunan ke Sabah.

Ucapan selama 12 minit itu bertujuan untuk memberi gambaran besar bagaimana pembangkang boleh mengambil alih pemerintahan negari.

Dia mendesak Bersatu dan PN untuk bekerjasama dengan rakan-rakannya dalam BN.

Perhimpunan pendek itu turut dihadiri oleh Ketua Umno Tuaran, Abdul Rahman Dahlan.

Muhyiddin juga mengingatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal mereka.

Selepas ucapannya, Muhyiddin kemudian meneruskan jadual seterusnya mengunjungi pasar ikan berhampiran.

Sementara Hajiji menaiki kereta untuk menuju ke Dewan Seri Sulamam Tuaran, pusat penamaan calon untuk Sulaman.

Hajiji, seorang wakil rakyat DUN Sulaman selama tujuh tahun akan bersaing untuk mempertahankan kerusinya.


8.50 pagi: Dewan Jabatan Kerja Raya Sembulan, Kota Kinabalu - Umno masih dijangka meletakkan calon di kerusi Tanjung Aru yang akan menyebabkan bertembung dengan calon PBS, Yong Oui Fah.

Ini walaupun presiden BN Ahmad Zahid Hamidi mengatakan semalam bahawa mereka akan menyelesaikan pertembungan kerusi.

"Ya ... ada banyak kawan kali ini.

"Kami hanya mengikuti arahan dari parti," kata Yong kepada Malaysiakini, ketika ditanya apakah Umno masih diharapkan untuk meletakkan calon di sini.

Kini, enam calon telah tiba di pusat penamaan calon iaitu dari PBS, LDP, Usno, PGRS, Parti Cinta Sabah (PCS) dan calon bebas.

Calon Warisan Junz Wong dan calon Umno Mohd Reduan Aklee masih belum tiba.


8.45 pagi: Wisma Wanita, Kota Kinabalu - Ketua PKR Sabah Christina Liew tiba di pusat penamaan calon.

Ini akan menjadi kali keempat bagi Liew bertanding mempertahankan kerusinya.

Beberapa pemimpin PKR berkumpul di luar pusat penamaan calon untuk memberikan sokongan mereka kepada Liew, termasuk penasihat parti itu Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, bersama dengan kira-kira sepuluh penyokong parti.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBS Yee Moh Chai, calon PCS Pang Yuk Min, calon PPRS Lo Yau Foh, calon PGRS Chong Tze Kiun, calon bebas Marcel Jude dan Sim Sie Hong serta Ng Chun Sua juga dilihat memasuki pusat penamaan calon.


8.35 pagi: Dewan Serbaguna Libaran, Libaran - Ketiga-tiga calon dari Warisan tiba di pusat penamaan calon di sini - Arunarnsin Taib (N50 Gum Gum), Mahmud Sudin (N51 Sg Manila) dan Armani Mahiruddin (N52 Sg Sibuga).

Arunarnsin adalah penyandang Adun Gum-Gum, sementara Mahmud dan Armani adalah calon yang membuat penampilan pertama untuk Warisan.

Mahmud, seorang pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah, mengatakan bahawa salah satu bidang tumpuannya ialah membangun komuniti nelayan di Sg Manila.

Sementara itu, Armani, bekas Wanita Umno Sungai Sibuga selama 22 tahun, mengatakan sudah waktunya dia berpindah ke parti yang berpusat di Sabah.

Dia juga memegang rekod sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Negara pada tahun 2009.


8.35 pagi: Dewan Masyarakat Semporna, Semporna - Calon-calon dibenarkan melepasi halangan polis untuk bergerak ke bangunan dewan.

Hanya tiga orang iaitu calon, seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.

Sejurus calon masuk, seorang pegawai polis menghampiri penyokong dan menasihati mereka untuk menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Kita tak mahu yang berlaku di Lahad Datu terjadi di sini pula," katanya disambut tepukan sebahagian penyokong di situ.

Pegawai polis itu merujuk peningkatan kes mendadak susulan kluster penularan Covid-19 di Lahad Datu yang menyaksikan 170 kes baru dilaporkan semalam.


8.30 pagi: Dewan Kerja Raya Sembulan, Kota Kinabalu - Empat calon bagi kerusi Tanjung Aru tiba.

Mereka adalah Yong Oui Fah dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Rizawani Fiona Heng dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Ibrahim Mohd Laiman Diki dari LDP dan calon bebas Jan Chow.

Umno dan Warisan juga dijangka meletakkan calon di sini tetapi calon mereka masih belum tiba.

 


8.29am: Dewan Masyarakat Semporna, Semporna - Calon Umno Abdul Manan Indanan untuk kerusi N64 Sulabayan tiba di jalan hadapan dewan.

Dia diiringi segerombolan penyokong yang menuruti di belakangnya.

Dia sempat bergambar seketika bersama penyokong, dan kemudian dilihat berpelukan dengan calon PN dari Bersat, Daud (N66 Bugaya) dan Norazman (N65 Senallang).

Abdul Manan dan Norazman mengenakan baju Melayu, masing-masing berwarna biru dan merah, lengkap bersongkok dan bersampin, manakala Daud mengenakan baju korporat PN.

 


8.25 pagi: Dewan Masyarakat Semporna, Semporna - Sejumlah calon telah tiba di pusat penamaan calon bagi kerusi Sulabayan, Senallang dan Bugaya.

Kawasan ini dianggap kubu kuat Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang akan mempertahankan kerusi Senallang.

Setakat ini, calon PN Mohd Daud Tampokong dan Morazman Utoh Naim, yang masing-masing mewakili Bersatu di Bugaya dan Senallang, telah tiba.

Calon PCS, Jihek Basanu juga hadir dan dijangka akan menyertai saingan untuk merebut DUN Bugaya.

Pusat penamaan calon akan dibuka pada pukul 9 pagi.

 


8.20 pagi: Wisma Wanita, Kota Kinabalu - Presiden LDP Chin Su Phing, yang bertanding untuk merebut kerusi Api-api tiba di pusat penamaan calon.

Ini adalah kali pertama dia mencuba nasib dalam pilihan raya dan dia berharap rakyat Sabah memilih wakil bekas sekutu BN.

"Kami berharap rakyat memilih parti tempatan, sudah waktunya kita berubah," katanya.

Dia juga menambah bahawa LDP akan bertanding sebanyak 46 kerusi di mana separuh daripadanya adalah kawasan majoriti masyarakat Kadazan Dusun Murut.

Api-api dijangka akan menyaksikan persaingan sekurang-kurangnya dari lima penjuru.

Adun penyandang ialah Christina Liew Chin Jin, yang juga ketua PKR Sabah.

 


8.14 am: Dewan Masyarakat Semporna, Semporna - Beberapa calon tiba di jalan hadapan bangunan pusat penamaan calon.

Antaranya, calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Mohd Daud Tampokong bagi N66 Bugaya; Norazman Utoh Naim bagi N65 Senallang; dan calon dari Parti Cinta Sabah (PCS) Jihek Basanu untuk kerusi Bugaya.

Beberapa penyokong turut dilihat di jalan tersebut.

Proses pendaftaran di pusat penamaan hanya akan dibuka jam 9 pagi.


8.12 pagi: Dewan Jabatan Kerja Raya Sembulan, Kota Kinabalu - Sebilangan kecil penyokong BN hadir di sekitar pusat penamaan calon DUN Tanjung Aru.

DUN Tanjung Aru dijangka akan berlaku pertembungan antara dua sekutu PN, iaitu BN dan PBS, tanpa sebarang persetujuan dicapai pada saat-saat akhir.

Mereka juga akan berdepan calon Warisan. Parti kecil lain seperti PGRS juga dijangka akan menyertai saingan merebut DUN ini.


8.10 pagi: Dewan Serbaguna Libaran, Libaran - Sekurang-kurangnya dua calon untuk N50 Gum Gum tiba di dewan di sini.

Salah seorang calon itu ialah bekas ketua penyelaras Amanah Sandakan, Jainudin Berahim, yang merancang untuk bertanding atas tiket LDP.

Amanah secara rasmi hanya meletakkan satu calon dalam pilihan raya ini.

Seorang lagi calon yang tiba ialah Undang Tumpong, 61, dari Parti Cinta Sabah (PCS), parti baru yang dipimpin oleh bekas menteri luar negeri Anifah Aman, yang telah mengumumkan niat untuk bertanding di semua 73 kerusi.


8.05 pagi: Dewan Serbaguna Libaran, Libaran - Petugas media mulai berkumpul untuk meninjau sama ada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman akan muncul dari rumahnya, hanya beberapa ratus meter dari pusat penamaan calon untuk N50 Gum Gum, N51 Sungai Sibuga dan N52 Sg Manila, tiga konstituen di bawah kerusi parlimen Libaran.

Setakat ini tidak ada penyokong mana-mana calon yang dilihat di kawasan itu, selaras dengan SOP berkaitan Covid-19.


8.02 pagi: Bandar Tuaran - Calon Perikatan Nasional untuk DUN Sulaman, Hajiji Noor tiba di ibu pejabat Tuaran Bersatu, yang merupakan tempat berkumpulnya penyokong mereka.

Berpakaian baju Melayu merah, ketua Bersatu Sabah itu disambut sekitar 400 penyokong.

Meskipun para penyokong berusaha untuk menjaga jarak sosial satu meter, tetapi ada di antara mereka yang masih berdiri berdekatan antara satu sama lain.


Para penyokong memegang bendera PN biru tua, yang membuat penampilan pertama dalam PRN ini.

Perdana Menteri Muhyuddin Yassin akan tiba kemudian untuk memberikan restu kepada Hajiji, wakil rakyat DUN Sulaman yang memenangi kerusi itu di bawah tiket BN.

Dijangkakan bahawa Hajiji akan dicabar oleh Rekan Hussien dari PCS dan Aliasgar Basri dari Warisan.

Sebanyak 11,711 pengundi akan memilih di Sulaman, yang berada dalam jarak 30 minit perjalanan dari Kota Kinabalu.

Sebelumnya, sepasukan polis melakukan pemeriksaan di sebuah restoran.

Menurut seorang pegawai polis, pasukan berkenaan sedang memeriksa kemungkinan bahan kimia atau letupan.


8.00 pagi: Dewan Jabatan Kerja Raya Sembulan, Kota Kinabalu - Sekumpulan kecil kira-kira tujuh penyokong BN dilihat berada sekitar 50 meter dari pintu masuk ke Jabatan Kerja Raya di sini.

Beberapa daripada mereka berpakaian kameja BN berwarna biru dan mereka dilihat berbual antara satu sama lain.

Setakat ini, tidak ada penyokong lain yang kelihatan berada di sekitar pusat penamaan calon untuk kerusi DUN Tanjung Aru.

Sebelumnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan garis panduan baru untuk proses penamaan calon kerana pandemik Covid-19 termasuk melarang penyokong berkumpul atau berbaris dengan calon.

Setakat ini belum ada calon yang dilihat tiba.


7.51 pagi: Dewan Masyarakat Semporna, Semporna - Beberapa wakil bagi calon BN untuk N64 Sulabayan tersampai awal ke pusat penamaan calon untuk proses pendaftaran.

Bagaimanapun, pihak polis memaklumkan bahawa urusan pendaftaran hanya dibuka jam 9 pagi, itu pun hanya tiga orang dibenarkan masuk bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mereka memaklumkan bahawa mereka datang awal untuk menyelesaikan urusan bayaran terlebih dahulu.

Menurut SOP norma baru SPR, hanya calon, seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.


Hari ini merupakan hari penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, menandakan bermulanya saingan kempen bagi merebut 73 kerusi Dewan Undanan Negeri (DUN).

Jumlah itu termasuk pertambahan 13 kerusi baru berbanding 60 kerusi dalam pilihan raya lalu kerana persempadanan semula.

Warisan, diketuai presidennya merangkap penyandang ketua menteri Shafie Apdal, akan cuba mempertahankan kerajaan negeri bersama sekutu-sekutunya iaitu DAP, PKR, Amanah dan Upko.

Mereka berhadapan gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ada juga sebilangan parti tempatan akan bertanding di pelbagai kerusi, termasuklah Parti Cinta Sabah (PCS) yang mahu bertanding di sekurang-kurangnya 70 kerusi.

Masa penamaan calon bermula jam 9 pagi dan akan ditutup sejam kemudian pada pukul 10 pagi.

Hari mengundi dijadualkan 26 September, selepas tempoh kempen 14 hari.