Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pencemaran Sg Gong: Mahkamah tolak permohonan cabar reman 4 beradik

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan mencabar perintah reman terhadap empat beradik berhubung dakwaan terlibat dalam pencemaran di Sungai Gong baru-baru ini.

Hakim Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu semasa prosiding mahkamah hari ini.

Semalam, perintah reman terhadap empat individu itu dilaporkan telah dilanjutkan lima hari lagi.

Mereka yang berusia antara 50 hingga 60 tahun itu pada mulanya direman enam hari sejak Sabtu lalu.

Semasa prosiding hari ini, Ab Karim memutuskan bahawa tempoh reman yang ditetapkan adalah munasabah antaranya selepas mengambil kira kepentingan awam dalam perkara tersebut.

"Bagi saya, tempoh masa yang diberikan (oleh hakim untuk reman) adalah munasabah. Saya tidak fikir tempoh reman harus dikurangkan.

"Keputusan majistret dalam kedua-dua kes (reman awal dan lanjutan reman) adalah betul. Saya tidak akan mengubah keputusan majistret," katanya.

Keputusan hakim hari ini turut terpakai terhadap satu lagi permohonan mencabar reman oleh empat pekerja kilang, berkaitan dengan empat beradik itu.

Kilang itu didakwa terlibat dalam insiden pencemaran yang mengakibatkan gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur minggu lalu.

Peguam Abdul Rashid Ismail hadir mewakili empat beradik itu sementara peguam M Reza Hassan hadir bagi pihak empat pekerjanya.

Pada 3 September lalu, pencemaran di Sungai Selangor dilaporkan telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Enam hari kemudian, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan gangguan di tujuh wilayah itu akibat penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pulih sepenuhnya.