Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin PKR keluar dewan: Mungkin salah tafsir, kata Shafie

PRN SABAH | Presiden Warisan Shafie Apdal menepis cakap-cakap yang timbul apabila Ketua PKR Sabah Christina Liew dilihat keluar dewan bersama sekumpulan anggota PKR semasa acara pengumuman calon Warisan Plus semalam.

Katanya, kontroversi keluar dewan itu berlaku mungkin kerana salah tafsir sahaja.

"Dia tak keluar (begitu sahaja) sebenarnya. Saya tanya dia, kamu ada senarai tak? Tak, dia (Liew) ada urusan, dia kata.

"Mungkin salah tafsir. Pasal dia minta izin dengan saya, dia bagitahu, 'Datuk Seri, saya ada program yang saya perlu uruskan'.

"Saya bagitahu, 'jalanlah'. Tak jadi masalah. Dia bukan keluar (begitu sahaja)," katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra di Masjid Jamek Kampung Bantayan Semporna di Sabah.

Program itu disertai kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), imam kariah, imam rawatib, dan guru besar sekolah agama negeri, dan turut dihadiri pengarah JHEAINS, Saifulzaman @ Setibin Sangul.

Shafie terdahulunya sempat menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Semalam, PKR hanya diberikan tujuh kerusi sahaja iaitu Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias, dan Sook- berbanding 14 yang mahu ditandingi, seperti yang diumumkan parti itu sehari sebelum itu.

Tindakan Liew dan kumpulannya yang keluar dari dewan itu menimbulkan tanda tanya, namun apabila dikejar dan disoal pemberita, Liew enggan memberikan sebarang komen dan berkata bahawa dia ingin ke tandas.

Liew dan perwakilan PKR kemudian kembali ke dalam dewan tersebut.

Namun, apabila calon pilihan raya yang diumumkan diminta naik ke atas pentas untuk sesi bergambar, Liew tidak kelihatan.

PKR Sabah sebelum itu menjangkakan Warisan akan menyerahkan kerusi Kemabong, Membakut, dan Petagas kepada mereka, namun kerusi Kemabong diserahkan kepada Upko dan Membakut dan Petagas kekal dengan Warisan.

PKR juga menuntut empat daripada 13 kerusi baru yang diperkenalkan iaitu Segama, Limbahau, Sungai Manila, dan Pintasan tetapi semua kerusi itu akan ditandingi Warisan.