Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DPP: Pendakwaan kes Guan Eng hari ini 'ibu kepada semua pertuduhan'

Pihak pendakwaan kes bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggambarkan pendakwaan kes rasuah hari ini sebagai "ibu kepada semua tuduhan".

Ketua DPP Wan Shaharuddin Wan Ladin membuat komen itu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

"Dasar kami di AGC (Pejabat Peguam Negara) adalah kami hanya akan buat pertuduhan yang ada 99 peratus peluang untuk menang," katanya.

Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pagi ini atas dua pertuduhan berkaitan pelupusan dua plot tanah bernilai RM135 juta dan RM73 juta kepada dua pemaju, Ewein Zenith Sdn Bhd pada tahun 2015 dan Zenith Urban Development pada tahun 2017.

Tuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Wan Shaharuddin berkata, tuduhan hari ini berkaitan dengan tuduhan pertama dan kedua yang dihadapi Lim di Butterworth dan Kuala Lumpur bulan lalu, berkaitan dengan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Dakwaan terbaru ini adalah yang terakhir berkaitan dengan projek infrastruktur mega yang akan menghubungkan pulau itu ke Butterworth di daratan.

Mengenai tuduhan itu, DPP selanjutnya mengatakan: "Kita sudah dapat kepala, badan, (kali ini) kita nak ekor dia pula. Ini ekor dialah."

Sepuluh saksi dari Kuala Lumpur dijangka dipanggil.

Hakim telah menyetujui permintaan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur.

Lim diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan Sivanesan Achalingam.

Selain Wan Shaharuddin, pasukan pendakwaan terdiri daripada Francine Cheryl Rajendram dan Selvaranjini Selvaraj.

Sementara itu, Lim mengatakan dalam satu kenyataan hari ini bahawa dua tuduhan tambahan terhadapnya tidak berasas, bermotifkan politik, dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

Dia menambah bahawa tuduhan itu bertujuan untuk merosakkan dan mencemarkan reputasinya menjelang pilihan raya, termasuk di Sabah.

Ahli Parlimen Bagan itu mengulangi bahawa projek terowong dan lebuh raya tiga lorong yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang pada tahun 2013 kepada Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group adalah kontrak yang diberikan melalui tender terbuka dari Jawatankuasa Tender Negeri.

Jawatankuasa ini diketuai oleh setiausaha negeri Pulau Pinang dan mempunyai anggota kanan kerajaan.

"Walaupun saya bukan anggota Jawatankuasa Tender Negeri, saya tetap didakwa sesuai dengan pemikiran semasa 'itu semua salah Lim Guan Eng," katanya.


Nota editor: Berdasarkan nasihat undang-undang, ruangan komen untuk artikel di atas ditutup.