Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes rasuah Ku Nan: Pendakwaan tunjukkan keraguan munasabah - peguam

Pihak pendakwaan gagal meneroka sepenuhnya pernyataan saksi mereka bahawa bayaran RM2 juta kepada Tengku Adnan Tengku mansor adalah derma politik, kata pasukan pembelaan.

Ketika penghujahan peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Tan Hock Chuan berkata kegagalan itu telah menjejaskan kes pendakwaan.

Dia berkata ini kerana pernyataan oleh saksi pendakwaan ke-19, ahli perniagaan Chai Kin Kong, antara lain mengukuhkan hujah pembelaan bahawa wang tersebut bukan untuk Tengku Adnan secara peribadi, tetapi untuk membantu Umno dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

Menurutnya, kesimpulan yang menyatakan bahawa wang tersebut adalah derma politik bertentangan dengan kes pendakwaan yang bergantung kepada apa yang disebut kertas pertuduhan, yang antara lain menyebut wang tersebut untuk "diri sendiri".

"Pendakwaan tidak boleh menunjukkan kecenderungan berhubung bukti yang ditunjukkan. Ini bukan bukti sampingan, tetapi bukti utama dalam kes dan pendakwaan gagal memeriksanya.

"Kami mengatakan keraguan munasabah telah diwujudkan kerana tujuan RM2 juta adalah untuk derma politik kepada Umno dalam dua PRK," katanya.

Ketika prosiding peringkat pendakwaan pada 17 Julai lalu, Chai dalam keterangannya berkata di memberikan cek RM2 juta kepada Tengku Adnan sebagai derma politik.

Pihak pendakwaan dijangka membuat penghujahan apabila perbicaraan di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Jumaat minggu depan.

Tengku Adnan sedang menghadapi perbicaraan berkaitan dakwaan mengambil RM2 juta daripada Aset Kayamas Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menjadi menteri wilayah persekutuan.

Cek dikeluarkan oleh Aset Kayamas ke akaun Tadmansori Holdings, syarikat milik Tengku Adnan pada 14 Jun 2016. Ia didakwa dilakukan di CIMB cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mebawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Oktober lalu, hakim menetapkan pendakwaan telah membuktikan kes prima facie dan mengarahkan Tengku Adnan untuk membela diri.

[Baca berita asal]