Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kelantan catat 65 kes malaria monyet antara Jan - Ogos

Sebanyak 446 kes malaria monyet direkod di Kelantan bagi tempoh 2016 hingga kini dengan 65 daripadanya dicatat dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Vektor, Cawangan Kawalan Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Ahmad Syaarani Yasin bagaimanapun berkata tiada kes kematian berkaitan penyakit berkenaan dilapor sepanjang tempoh lima tahun lalu.

"Kalau lihat kepada 65 kes tahun ini, secara puratanya terdapat lapan kes untuk sebulan, maksudnya sentiasa ada rakyat Kelantan yang dijangkiti," katanya semasa menjadi tetamu dalam program Slot Kesihatan terbitan radio Kelantanfm hari ini.

Memperincikan 65 kes yang dilaporkan itu, Ahmad Syaarani berkata ia merangkumi empat daerah di Kelantan iaitu Gua Musang yang merekodkan sebanyak 38 kes, diikuti Kuala Krai (15 kes), Jeli (10 kes) dan Tanah Merah (dua kes).

Mengulas lanjut, dia berkata individu paling berisiko dijangkiti penyakit itu adalah mereka yang melakukan aktiviti riadah di kawasan atau pinggir hutan terutamanya di empat daerah berkenaan.

"Sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam panas, muntah dan sebagainya selepas melawat kawasan hutan terutamanya di empat daerah itu, segera dapatkan rawatan serta ujian di klinik kesihatan terdekat," katanya.

Ahmad Syaarani turut meluahkan kebimbangannya terhadap kurang kesedaran orang ramai mengenai penyakit berkenaan.

Jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya malaria knowlesi adalah melalui gigitan nyamuk spesies anopheles (tiruk).

Penyakit itu juga dikategorikan sama bahaya dengan demam denggi sehingga boleh mengakibatkan kegagalan organ seperti buah pinggang, malah, mampu membawa kepada kematian.

Ditanya mengenai kaedah untuk mencegah penyakit tersebut, Ahmad Syarani menasihatkan orang ramai supaya memakai pakaian yang melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk dan menggunakan ubat penghalau nyamuk ketika berada di kawasan hutan.

"Pakai baju lengan panjang dan seluar panjang serta sapu ubat penghalau serangga.

"Seeloknya elakkan berada di luar rumah pada waktu malam. Sekiranya terpaksa bermalam di hutan atas faktor tertentu, sediakan khemah serta kelambu berubat," katanya.

- Bernama