Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bung, Hajiji seru ahli bersatu selepas tak jadi umum calon bersama

PRN SABAH | Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor hari ini berusaha menunjukkan perpaduan kedua-dua parti itu di Kota Kinabalu selepas majlis pengumuman calon yang dijadual diadakan secara bersama tidak berjalan seperti dirancang.

Setelah satu jam tertangguh dan majlis pengumuman calon itu bertukar menjadi majlis "beramah mesra", Bung dan Hajiji berusaha menyelamatkan keadaan dengan masing-masing menyampaikan ucapan.

Kedua-dua ucapan mereka hanya mengambil masa sekitar 30 minit sebelum majlis itu berakhir.

Dalam ucapan mereka, Bung dan Hajiji menggesa anggota kedua-dua parti agar tidak melepaskan 'peluang yang diberikan Allah' untuk memenangi pilihan raya negeri Sabah yang akan diadakan pada 26 Sept ini.

Bung berkata, Umno bersama "rakan lama" Bersatu, telah diberikan peluang kedua untuk mengambil alih semula kerajaan negeri Sabah

"Hari ini kita diberi peluang bersama dengan sahabat lama kita.

"Di bawah kita kena bersatu. Memang tahu ada yang sakit hati, tapi sakit hati ini tidak akan membawa kemajuan kepada kita.

"Ini bermakna Allah berikan kita peluang kedua. Kalau tak ambil, peluang ketiga lagi susah nak dapat," katanya kepada lebih 500 ahli Umno dan Bersatu yang berkumpul untuk mendengar pengumuman calon.

Bung berkata demikian merujuk kepada tindakan anggota parlimen Umno yang menyertai Bersatu di Sabah selepas BN tewas pada pilihan raya umum 2018.

Pilihan raya negeri diadakan selepas bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman mendakwa memiliki sokongan majoriti yang memaksa ketua menteri sementara, Shafie Apdal membubarkan DUN.

"Bolehkah kita menang? Boleh.

"Tanpa perlu pertikai calon kita, tanpa persoal parti mana dia datang? Tugas jentera tak perlu pertikai keputusan, bila pucuk pimpinan buat keputusan, itulah kita terima.

"Jangan pertikai calon. Calon ini kerja tuhan. Sebab itu saya kata jangan cuba buat kerja Tuhan.Walaupun tidak bagus untuk tuan-tuan, tapi ambillah. Saya merancang, tapi akhirnya Allah juga yang buat keputusan," kata Bung.

Anggota parlimen Kinabatangan selama lima penggal itu turut menggesa ahli akar umbi supaya tidak menunjukkan rasa tidak puas hati mereka sekiranya mahu memenangi pilihan raya negeri.

Bung yang bertanding di Dun Lamag dilihat sebagai salah seorang calon ketua menteri Sabah sekiranya pembangkang memenangi PRN pada 26 Sept ini.

Dalam ucapannya Bung bersetuju dengan pandangan Hajiji yang mengatakan bahawa Umno dan parti serpihannya itu berasal dari "spesies yang sama".

 Sebelum itu, Hajiji mengatakan mereka berkongsi perjuangan yang sama.

"Saya pun dari spesis yang sama. Tetapi, jangan bimbang. Perjuangan kita sama.

"Terutama sekali dalam PRN ini. Umno-BN dan PN-Bersatu mesti satu hati untuk pastikan kita menang pilihan raya ini," katanya.

Hajiji juga menasihati anggota Bersatu supaya tidak menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

"Kita mesti melihat bahawa perjuangan dan kemenangan itu lebih besar kerana kita mahu Sabah ini terutama kerajaan yang kita bentuk mestilah sehaluan dengan kerajaan persekutuan yang ada pada hari ini," katanya.

Hajiji tiba di majlis berkenaan kira-kira 30 minit selepas ketibaaan Bung.

Setelah majlis itu berakhir, Bung terus mengadakan sidang media untuk mengumumkan calon Umno manakala Hajiji pula meninggalkan majlis.

Umno mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di 31 daripada 73 kerusi Dun dalam pilihan raya Sabah.

Bersatu pula akan mengumumkan calonnya secara berasingan, sekali gua menunjukkan kemungkinan terdapat beberapa pertembungan dengan Umno.