Analisis NGO: K'jaan PN hanya bimbang jangka hayat politiknya
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bimbang terhadap jangka hayat politiknya dan juga untuk kembali berkuasa dengan mandat, menurut analisis gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO).
Gabungan yang memperkenalkan diri mereka sebagai Platform CSO Untuk Pembaharuan itu berkata demikian dalam laporan analisis mereka terhadap 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PN.
"Ketika Pakatan Harapan fokus kepada reformasi institusi, PN hanya mementingkan jangka hayat politik dan untuk kembali berkuasa dengan mandat," katanya.
Menurutnya ini jelas dapat dilihat apabila tiada pemimpin yang bercakap mengenai sentimen xenofobia dan kebencian terhadap pendatang asing dan pelarian.
"Kami masih belum melihat perdana menteri atau kabinetnya menyampaikan mesej yang tegas kepada orang ramai untuk meminta mereka menghentikan kecaman.
"Sebaliknya yang berlaku apabila menteri pertahanan menuntut permohonan maaf daripada Al Jazeera kepada seluruh rakyat Malaysia atas laporan 'kontroversi' mengenai kesengsaraan pendatang asing semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pegawai kanan yang membenarkan perlakuan menghina pendatang dan pelarian,"kata laporan itu.
Gabungan itu merujuk kepada peningkatan kebencian terhadap pendatang dan pelarian yang berlaku semasa penularan Covid-19, terutama selepas Al Jazeera 101 East menerbitkan 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' yang memaparkan beberapa pendatang di negara ini bercakap mengenai layanan buruk yang mereka terima daripada masyarakat.
Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengkritik Al Jazeera dan meminta stesen ini membuat permohonan maaf atas dokumentari tersebut, manakala masyarakat menunjukkan reaksi marah terhadap penerbitan dokumentari itu dan pendatang asing berkenaan kerana didakwa mencemarkan imej Malaysia.
Laporan gabungan itu yang turut menganalisis prestasi 22 bulan Pakatan Harapan dilancarkan dalam sebuah acara di Petaling Jaya hari ini.
Menurut siaran akhbar gabungan itu, Platform CSO Untuk Pembaharuan melibatkan sejumlah 75 NGO yang memfokuskan kepada isu-isu dari persekitaran, rasuah sehingga kepada reformasi dalam institusi polis.
Aanalisis itu dikatakan dibuat berdasarkan kompilasi laporan mengenai berbagai perkara yang menentang pembaharuan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, serta melihat pencapaian dan kekurangan pentadbiran PH dan PN.
Bagaimanapun gabungan itu juga menegaskan bahawa analisisnya tidak bermaksud untuk membuat perbandingan antara kedua-dua kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai