Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

JMM didakwa lumpuh, lima pemimpin utama letak jawatan

Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) lumpuh apabila lima pemimpin utamanya bertindak melepaskan jawatan serentak hari ini.

Dalam satu kenyataan, bekas ketua setiausaha JMM, Hamdan Mohd Salleh memaklumkan perkara itu, namun tidak menyatakan alasan mereka berbuat demikian.

Selain Hamdan, mereka yang bertindak melepas jawatan, adalah bendahari Khalijah Mohamed, naib presiden 1 dan 2, Abd Rahim Omar dan Mohd Faizall Yunus serta ketua penerangan Faizan Mohd Nor.

"Ia umpama sebuah kapal perang yang sudah karam menanti tender baru untuk membaiki dan menaikkan semula kapal perang ini kerana laksamanana telah lari dari medan perang.

"Sebelum ini, Presiden JMM Azwanddin Hamzah telah mengumumkan melalui hebahan media untuk melepaskan jawatannya.

"Saya selaku ketua setiausaha JMM memaklumkan melepaskan jawatan berkuat kuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 2 Ogos lalu, Azwanddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden JMM berkuat serta merta.

Jawatan yang dikosongkan beliau itu akan diisi oleh ahli majlis tertinggi JMM, Azlan Johar, 57.

Keputusan itu diambil selepas berkuat kuasa 13 tahun Azwanddin mengemudi badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan komen Azwanddin berhubung peletakan jawatan pemimpin utama JMM itu.