Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pencemaran Sg Gong: Polis pertimbang siasat ikut Sosma

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk mengklasifikasikan kes pencemaran di Sungai Gong sebagai jenayah terancang jika elemen sabotaj berjaya dikesan.

Ini, menurutnya, akan membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Sosma membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga tempoh maksimum 28 hari.

Bercakap pada sidang media hari ini, Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mencetuskan idea itu semasa perbincangan baru-baru ini dengan Peguam Negara Idrus Harun mengenai krisis tersebut.

"Kelmarin, kita mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dan agensi, termasuk Jabatan Peguam Negara. Ada beberapa arahan dikeluarkan dan memerlukan polis memenuhi tuntutan itu.

"Ada cadangan supaya JSJ mengenakan hukuman lebih berat terhadap dalang kes ini. Kita sedang mempertimbang untuk menyiasat mengikut Sosma.

"Polis akan menyiasat jika ada unsur mengugut, menakutkan, sabotaj dan perbuatan yang berulang kali serta tidak baik," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab PDRM, di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid menambah bahawa pendekatan itu dapat digunakan untuk kes-kes yang akan datang juga.

Polis sebelum ini menahan empat individu berkaitan dengan pencemaran yang dikesan di Sungai Gong di Rawang, Selangor.

Mereka dilaporkan disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Susulan pencemaran pada Khamis lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Sebuah kilang yang terletak di kawasan perindustrian Rawang disyaki punya yang menyebabkan pencemaran tersebut.

Kerajaan negeri telah memerintahkan kilang itu ditutup dan dirobohkan setelah mendapati ia beroperasi tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Selayang.

[Baca berita penuh]