Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Rahmah Islam sebagai pengukuh perpaduan nasional

Di Amerika Syarikat dan negara-negara maju di Eropah, kebimbangan dalam kalangan rakyat terhadap kehadiran pendatang asing telah melahirkan sentimen negatif terhadap golongan tersebut.

Kebimbangan itu berasaskan kepada persepsi bahawa pendatang asing mengambil peluang ekonomi yang sepatutnya dinikmati oleh warga tempatan.

Di Malaysia, sentimen negatif juga wujud walaupun dalam konteks dan realiti yang berbeza.

Kesan positif pendatang asing tidak dinafikan kerana keperluan ekonomi dan sosial, khususnya dalam sektor pekerjaan berkemahiran rendah seperti sektor pembinaan, pertanian dan pembantu rumah.

Situasi Malaysia sebenarnya lebih kompleks.

Selain pendatang asing, kaum Cina dan India sering dikaitkan dengan gelaran “pendatang” walaupun mereka adalah warganegara yang sah.

Hal ini timbul kerana faktor sejarah penghijrahan kaum kaum tersebut ke Tanah Melayu semenjak sebelum kemerdekaan lagi.

Konteks ini penting difahami dalam memupuk perpaduan nasional.

Jurang pendapatan di antara kaum dan aspek-aspek taraf hidup seperti aspek pendidikan, kesihatan dan lain-lain mempengaruhi perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Selain itu, perbezaan budaya, bahasa dan kepercayaan turut memberi kesan kepada perpaduan nasional.

Tambahan pula, terdapat perbezaan pandangan berkenaan peranan sistem pendidikan vernakular terhadap perpaduan di antara kaum.

Akhirnya, jurang di antara kaum yang bermula dari awal persekolahan turut merebak ke alam pekerjaan. Kitaran ini berterusan dari semasa ke semasa.

Hasilnya, perpaduan nasional menjadi isu sensitif yang perlu ditangani dan diseimbangkan dengan cermat dan teliti oleh semua pihak.

Isu perpaduan biasanya menjadi kian parah apabila prestasi ekonomi tidak baik dan memberi kesan negatif kepada perniagaan dan sektor pekerjaan.

Raikan kepelbagaian

Realiti hari ini mendapati orang Melayu dan kaum Bumiputera lain masih lagi ketinggalan dalam pelbagai sudut.

Sebagai golongan majoriti, situasi ini menyebabkan orang Melayu kurang senang, seolah-olah terpinggir di tanah air sendiri walaupun hak-hak keistimewaan mereka dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Situasi menjadi lebih teruk apabila ia dieksploitasi oleh kumpulan-kumpulan atau individu-individu tertentu.

Ledakan maklumat melalui media sosial pula memburukkan lagi keadaan dengan kewujudan dakyah mahupun berita palsu yang menyemarakkan perasaan kebencian.

Dalam hal ini, Islam sebagai agama rasmi boleh memainkan peranan utama dalam memupuk perpaduan sesama kaum.

Sebagai agama yang membawa rahmah kepada seluruh manusia dan alam, Islam meraikan kepelbagaian dan perbezaan sesama manusia.

Malahan, Islam mengangkat darjat manusia ke darjat yang mulia dengan menegakkan keadilan tanpa diskriminasi kaum atau kepercayaan.

Sehubungan itu, melalui kemuliaan akhlak dan persaudaraan insan, umat Islam mempunyai peranan penting untuk menyuburkan perpaduan lantas menjadi contoh kepada kaum-kaum lain di negara ini.

Pada masa yang sama, nilai-nilai murni yang dikongsi bersama oleh rakyat majmuk di negara ini boleh dijadikan asas untuk mencapai perpaduan nasional.

Sikap tolak ansur, bekerjasama dan saling menghormati haruslah dipupuk dan dibudayakan, selaras dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara.

Cabarannya adalah untuk menterjemah dan merealisasikan usaha-usaha perpaduan dalam kehidupan seharian secara konsisten dan berterusan melalui inisiatif-inisitiaf yang inovatif dan kontemporari.

Selain peranan kerajaan untuk merangka polisi-polisi dan inisiatif-inisiatif yang bersesuaian, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) pula mestilah diberi peranan sewajarnya berdasarkan sumber dan bidang kepakaran masing-masing.

Dalam memupuk perpaduan nasional, peranan kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti sangat kritikal terutama di peringkat pucuk pimpinan tertinggi negara.

Selain keikhlasan, pemimpin mestilah mempunyai ciri-ciri kebijaksanaan, amanah, prihatin, telus dan profesional dalam menggalas tanggungjawab yang diberi.

Rakyat pula berperanan penting untuk melengkapkan diri sebagai masyarakat progresif yang hanya mengangkat golongan yang layak sahaja sebagai pemimpin mereka.


BADLISHAH SHAM BAHARIN ialah timbalan presiden Ikram manakala MOHAMMAD ABDUL HAMID pula bertugas sebagai perunding polisi awam di NGO itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.